
ALOR SETAR: Orang ramai khususnya penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) boleh melayari akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi yang baharu.
Akaun tersebut @sanusimdnor74 merupakan yang baharu setelah akaun sedia ada disekat (dipadam) oleh pihak berkenaan semalam.
Muhammad Sanusi dalam ucapannya di Sik berkata, semalam akaun TikToknya dipadam menyebabkan penjelasan berkenaan fitnah-fitnah atas dirinya tidak dapat dimuatnaik.
“Baru nak popular habislah la. Kita tak boleh masuk TV, mereka tak bagi. Kita tak boleh masuk radio. Boleh masuk TikTok dan Facebook saja,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan PH-BN yang menerajui kerajaan persekutuan seperti Korea Utara, menyekat kebebasan media.
Beliau dalam pada itu berkata, pelbagai fitnah serta tuduhan dilemparkan terhadapnya, antaranya isu banglo milik abangnya, peruntukan jalan MARRIS dan terkini berkenaan kecurian bahan nadir bumi (REE) yang cuba dilibatkan dirinya.
“Selepas ini akan datang kepada tuan-tuan berita-berita yang ngeri dan menakutkan. Hari ini saja saya ditembak lima kali, kes banglo, kes itu kes ini, malam ini kes REE.
“Depa ikat kaki, ikat tangan, lepas tu suruh kita lawan. Kalau mereka betul-betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” tambah beliau.
Sementara pada perkembangan yang sama, lain-lain pautan atas namanya selain akaun rasmi @sanusimdnor74, adalah palsu. – HARAKAHDAILY 16/7/2023











