
MACHANG: Misi Umno dan Pakatan Harapan (PH) mahu merampas Kelantan menerima tamparan hebat apabila orang kuat Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Dato’ Jazlan Yaakob meninggalkan parti itu.
Bekas Ketua Pemuda Umno Machang Iryandi Ismail bersama 275 bekas pemuda Umno dan PKR bahagian itu menyertai PERIKATAN NASIONAL (PN) melalui Bersatu malam tadi.
Tokoh lain termasuk bekas Pengerusi Tetap Pemuda Umno Machang Zakaria Abdullah, Ketua Penerangan Pemuda Umno Razif Mohd Fauzi, bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Kemuning Khairul Nizam Saadon dan ramai lagi.
Penghijrahan itu mengejutkan memandangkan Iryandi merupakan anak kepada Ketua Wanita Umno Machang Datin Rahimah Mahamad dan bapanya bekas Ketua Umno Machang Dato’ Ismail Mamat.
Iryandi berkata, beliau meminta izin dariada kedua-dua ibu bapanya keluar daripada Umno selepas parti itu dianggap menyimpang daripada perjuangan asal.
Katanya beliau juga menanyakan alim ulama dan rakan taulan sebelum membuat keputusan berhijrah meninggalkan perjuangan Umno yang disertai sejak lebih 20 tahun.
“Selepas Umno bergabung dengan DAP dalam kerajaan campuran saya tidak rela lagi memangkah lambang dacing pada pilihan raya tidak lama lagi kerana parti itu bersama DAP.
“Sejak lebih 20 tahun kita berjuang menentang DAP tiba-tiba pemimpin Umno sekarang bekerjasama pula dengan parti terbabit. Mulai saat ini saya akan lawan habis-habisan.
“Saya juga mengajak rakan-rakan yang masih bersama Umno untuk menyokong PN pada Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi,” katanya selepas menyerah borang menyertai Bersatu kepada Pengerusi Bersatu Machang Kamaruddin Abdul Kadir.
Hadir sama pada program ceramah Jelajah Ppakat Pertahan Kelantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri Zulkifli Mamat, ahli parlimen Arau Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Timbalan Yang Dipertua PAS Machang Azhar Salleh dan Naib Yang Dipertua Mohd Roseli Ismail.
Pada majlis itu juga seramai 1,093 bekas ahli dan penyokong Umno menyertai PAS di Dun Pulai Chondong, Dun Temangan (1,159 orang) dan Kemuning (953 orang).
Iryandi turut memohon maaf kepada ahli dan penyokong PAS kerana sebelum ini menentang parti itu sejak terbabit dengan Pemuda Umno.
Menurutnya juga pada PRU14 beliau bertanding menentang calon PAS di Dun Kemuning.
“Selepas Umno bekerjasama dengan DAP saya tidak boleh lagi berjuang bersama parti itu kerana bertentangan dengan apa yang apa yang kita perjuangkan sebelum ini,” katanya yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Umno Kelantan. – HARAKAHDAILY 16/7/2023











