Agensi kerajaan lapor polis terhadap Pemuda PAN

- Advertisement -

MACHANG: Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah seorang anggota Biro Komunikasi Pemuda Amanah dalam YouTube Podcast baru-baru ini.

- Advertisement -

Penolong Pengurus KBCSB, Mohd Afzanizan Arif berkata, pihaknya tidak pernah mengagihkan 900 ekor lembu untuk ibadat korban yang disebut bernilai RM3 juta kepada rakyat pada tahun lepas.

Malah kata beliau program agihan korban tajaan kerajaan seperti didakwa tersebut tahun lepas tidak pernah diadakan.

Katanya tuduhan tersebut hanya bertujuan untuk menjatuh reputasi anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan memburukkan imej kerajaan negeri di musim pilihan raya sekarang.

“Dalam video itu seorang yang bernama Jeming Hassan mendakwa KBCSB terlibat mengagih lembu yang disumbang kerajaan negeri bagi tujuan ibadah korban pada tahun 2022.

“Oleh itu atas nasihat peguam, saya mewakili KBCSB menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang menggunakan sensitiviti agama bagi menimbulkan kegusaran dan kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini hari ini. Turut hadir wakil PMBK, Abdul Fatah Jaafar.

Mohd Afzanizan percaya tindakan Pemuda Amanah tersebut merupakan penyalahgunaan kebebasan media sosial dengan mengapi-apikan sentimen rakyat berkaitan perkara 3R iaitu agama, bangsa dan institusi raja.

Malah katanya Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mengekploitasi isu 3 R sehingga mewujudkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Saya percaya penyebaran kenyataan fitnah tersebut penyalahgunaan kebebasan multimedia yang dibuat individu terbabit dan Biro Komunikasi Pemuda Amanah Nasional dalam laman YouTube baru-baru ini.

“Laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa ke atas mereka yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2023

- Advertisement -