Segala formula, 1001 janji Madani serba tidak menjadi

Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan situasi harga dan kedudukan ekonomi semasa kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) adalah lebih baik berbanding kerajaan Madani.

- Advertisement -

Sebelum mengulas, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff dengan sekeping poster diterbitkan JKOM berhubung perbandingan harga antara era PN dan PH-BN.

Pada hantaran di Facebook miliknya hari ini, Syahir berkata di zaman PN faktor kenaikan harga barang disebabkan gangguan rantaian bekalan di peringkat global dan tempatan.

Ketika itu, katanya dunia sedang diancam wabak Covid-19 yang memaksa seluruh dunia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, peperangan antara Rusia dan Ukraine turut menyumbang kepada situasi ekonomi dunia.

Bagaimanapun, tegasnya PN yang prihatin sentiasa mendengar keluhan rakyat telah mewujudkan lapan pakej rangsangan ekonomi antaranya Prihatin, Penjana, Permai, Pemerkasa dan Pemulih disalurkan untuk meringankan beban rakyat dan peniaga.

“Ekonomi dipulihkan dengan tindakan, bantuan, dan pakej rangsangan ekonomi, bukannya dengan formula dan 1001 janji,” katanya.

Kata Syahir, jauh ketara dengan kerajaan Madani, ekonomi negara ketika ini telah bebas daripada pandemik, PKP manakala perang Rusia-Ukraine semakin mereda.

Namun, kerajaan Madani masih lemah mengawal kenaikan harga akibat kelemahan ‘kawalan dan dasar kerajaan’.

“Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan terlalu sibuk, Menteri saling bercanggah dan asyik menyalah.

“Keluhan rakyat tidak didengari, malah dinafi. Tiada pakej rangsangan ekonomi untuk meringankan beban rakyat dan peniaga.

“Ringgit terus menyusut. Kuasa beli rakyat lemah, peniaga mengeluh. Pasaran saham lemah, aliran keluar modal asing RM4.45 bilion sejak Januari 2023,” ulasnya lagi.

Menurutnya, dengan segala formula dan 1001 janji kerajaan Madani semuanya serba tidak menjadi.

“Perubahan perlu disegerakan. Semoga zaman Madani tidak digelar sebagai zaman ‘MahalDahNi’,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/7/2023

- Advertisement -