‘Bukan sekadar kunjungan balas ‘cekoh dan bek woh’..’

Meranduk pertemuan bersejarah 'dua kerajaan' (Bhg. Akhir)

- Advertisement -

SEJARAH pertemuan PAS Kawasan Bentong dengan ‘kerajaan empat undi’ di Kampung Tok Randok, Ajil pada pagi Ahad, 11 Jun 2023 lalu, mencatat memori yang cukup indah, meninggalkan kesan yang amat mendalam.

Kunjungan hormat diketuai Yang Dipertua PAS Kawasan ‘Orang Asal’ pertama di Malaysia, Cikgu Khairuddin Abdullah bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, YB Ustaz Maliaman Kassim bukan sekadar ‘temu bual’ biasa-biasa, mencicip teh, ‘makang kepok ikang’ kemudian pulang, al kisahnya ia telah melangkau lebih dari jangkauan. 

“Kami buat mesorat ‘adhoc’ baru ning kejap, nak gi Betong makang durian,” ujar Kak Zan (Norizan Abdul Rahman) Ketua Halwa DUN Ajil kepada penulis seusai berpelukan mengucap salam terakhir.

MasyaAllah, mereka teruja membuat kunjungan balas ‘nok cekoh’ durian Bentong.

Penulis sebenarnya keliru. Mereka nak ajak kami makan durian di Betung (salah satu kampung di Ajil) atau nak datang ke Bentong makan durian? Telinga penulis kurang jelas bunyi sebutan huruf ‘n’.

“Maaf Kak Zan, nak ajak gi Betung sini ke, nak datang Bentong tempat kami makan durian?,” penulis malu-malu bertanya kepastian. Sah, mereka mahu ke Bentong makan durian! 

Bertitik-tolak daripada niat ‘kendurian’ itu, pada 26 Jun lalu, rombongan PAS Dun Ajil tiba di ‘Ban Untung’ (panggilan asal penduduk sebelum ditukar kepada Bentong) bagi meredakan tekanan sehari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu.

Ketibaan pimpinan Majlis Tindakan DUN (MTD) Ajil seramai 11 orang diketuai Timbalan Pengarah DUN, Makhtar Mohd, bersama Jentera Pilihan Raya Muslimat (HALWA) DUN pimpinan Noorizan Abdul Rahman disambut meriah pimpinan PAS dan Dewan Muslimat Kawasan Bentong.

Timbalan Yang Dipertua PAS (TYDP) Kawasan Bentong, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak mewakili Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan, Khairuddin Abdullah yang tidak dapat bersama kerana dirawat di Hospital Daerah Bentong akibat masalah kesihatan.

Di dalam ucapannya beliau mengimbas memori manis bersama Almarhum murobbi ummah, Ustaz Abu Bakar Chik ketika membantu Terengganu mengadakan kerja-kerja pilihan raya pada tahun 2011.

“Yang paling seronok sekali duduk situ kita makan ‘duku Terengganu’, hari ni datang ni nak makan durian, jadi masa itu duku Terengganu tengah bebuah.

“Pengalaman paling tak boleh lupa jumpa sorang makcik, pegi kempen 2011 tu, masa tu ada arwah Ustaz Bakar Chik, gi ziarah cula, gi jumpa ada sorang makcik ni kan dia mari, “ni alik mana ni, alik mana,” luah mantan Ketua Pemuda PAS Bentong itu diiringi hilai tawa hadirin.

*Dalam dialek Terengganu, ‘alik’ bermaksud asal atau belah mana.

Secara peribadi bagi beliau, sumbangan Terengganu di Pahang ini cukup besar sebagai penanda aras atau bukti keberadaan PAS diterima oleh rakyat melalui kemenangan merangkul kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Jika kita lihat antara tempat yang kita menang awal (PAS memiliki ADUN) di Pahang ni adalah di Beserah, Beserah ni boleh kata sempadan Terengganu kan, diikuti Tanjung Lumpur dan seterusnya menurun-nurun, alhmdulillah.

“Ketua Pemuda PAS Pahang ni, ada beberapa penggal kita kata kelahiran Rusila, anak Pahang tapi mengaji di Rusila dan sebahagiannya dah jadi YB di Pahang ni,” ujarnya.

Kejayaan ini jelasnya lagi berkemungkinan assabab hubungan secara ilmu atau melalui pilihan raya dan sebagainya yang memberi impak atau kesan yang cukup besar bagi perjuangan islam khususnya di kedua-dua buah negeri iaitu Terengganu dan Pahang.

Beliau turut menaruh harapan agar tempias kemenangan di Ajil akan terpercik dan mengenai Bentong yang hanya berstatus kawasan simpanan atau dari sudut efek dramatik penulisan, ‘the waiting goverment’ (kerajaan menunggu).

Sesungguhnya, pertemuan susulan ini bukan semata-mata berniat ‘nok cekoh’ (nak kupas) atau ‘bek woh’ (kenduri) durian atau ingin menikmati suasana ‘healing’ sebelum DUN bubar, hakikat nilai terbesarnya lebih daripada itu.

PAS tidak mahu ahli atau amilinnya hanya sibuk bekerja dan berorganisasi dalam masa sama memandang sepi jalinan hubungan kemanusiaan dan silaturrahim.

Rasululllah S.A.W telah berwasiat di hadapan kaum Muslimin di dalam khutbah terakhir baginda di Hajjatul Wada’ pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, antara isinya Baginda bersabda yang bermaksud:

- Advertisement -

“Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali takwa dan amal soleh.

“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku,”.

Semoga Allah merahmati dan memelihara pertautan ukhuwwah antara dua kerajaan, ‘kerajaan empat undi’ dan ‘kerajaan menunggu’ ini, mencapai kemenangan di dunia dan di syurga abadi, insya-Allah.

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 12/7/2023

- Advertisement -