
KUANTAN: Masalah tekanan air rendah yang dihadapi para penduduk Taman Pandan Aman, sejak tujuh tahun lalu masih belum menunjukkan perubahan.
Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu, bekalan air langsung tidak ada di kawasan taman perumahan itu yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sini.
Penduduk mendakwa, acap kali laporan dibuat kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), sehingga kini belum ada tanda masalah itu akan segera diselesaikan.
Seorang penduduk, Mohamad Arif Hamzah berkata, dia terpaksa memasang enjin berasingan pada paip utama rumahnya bagi menambahkan tekanan air.
“Buat masa ini, ini sahaja cara untuk atasi masalah tekanan air rendah.
“Kami kena keluarkan kos tambahan, kalau tidak memang tak adalah air untuk digunakan di dapur atau untuk urusan harian lain,” katanya yang menetap di situ sejak 2016. (Foto atas)
Dia yang bekerja sendiri itu mendakwa masalah tekanan air sudah terlalu lama berlarutan dan wajar diberi keutamaan oleh PAIP untuk diselesaikan.
Seorang lagi penduduk, Faridah Husin berkata bekalan air boleh dikatakan setiap hari bermasalah, bahkan langsung tiada air pada hujung minggu.
Katanya, pihak PAIP memberi alasan penggunaan air terlalu tinggi pada hujung minggu mengakibatkan berlaku gangguan bekalan.
“Jawapan itu pernah diberikan pihak PAIP apabila kami buat aduan. Masalahnya isu tekanan air rendah ini bukan hanya berlaku hujung minggu, tapi hari biasa (bekerja) pun sama juga,” ujarnya.

Baginya, alasan penggunaan air terlalu tinggi pada hujung minggu bukanlah jawapan bijak.
“Rasanya di Kuala Lumpur lagi ramai orang, banyak penggunaan air setiap hari, tapi jarang kita dengar isu sama seperti kami hadapi ini.
“Jadi, saya harap sangat pihak PAIP atau kerajaan negeri boleh memberi perhatian dan membantu menyelesaikan masalah dihadapi kami,” katanya.
Faridah turut mendakwa terdapat penghuni di situ mengambil keputusan berpindah berikutan tidak tahan berdepan masalah berkenaan.
“Siapa yang boleh bertahan kalau masalah ini terus berpanjangan, saya terus menetap di sini kerana tidak ada pilihan lain,” katanya yang juga bekerja sendiri.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya ketika ditemui selepas meninjau masalah berkenaan memberitahu, isu itu akan dibangkitkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat. (Foto bawah)
“Untuk hari ini, kami dah minta pegawai berkaitan dari PAIP datang dan melihat sendiri masalah dihadapi penduduk di sini.
“Saya sendiri pun baru dimaklumkan mengenai isu berkenaan malam tadi dan sudah tentu satu jalan penyelesaian perlu dicari.
“Saya fikir mereka (penduduk) sudah banyak bersabar dalam hal ini, lagipun dah hampir tujuh tahun (berlaku) dan sepatutnya sudah ada tindakan (penyelesaian) diambil,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2023





















