
KANGAR: Usaha mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis adalah antara manifesto PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Justeru pelbagai usaha dijalankan bagi mencapai matlamat itu seperti penganjuran pertandingan bola sepak di peringkat sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil berkata, program demikian mampu mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak untuk digilap bagi mewakili negeri pada masa hadapan.
“Selain itu, program begini cukup baik bagi memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan antara satu sama lain,” katanya mengenai D’Kasih Champion Cup 2023 yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Kayang dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs).
Sebanyak 25 pasukan menyertai pertandingan itu yang diadakan di SK Kayang, Sabtu lalu.

“Tahniah kepada pasukan yang berjaya meraih pingat dalam persaingan sihat antara 25 pasukan hebat yang meliputi seluruh negeri Perlis,” katanya.
SK Guar Nangka, Mata Ayer, muncul johan manakala Kayang EAGLE FC dari SK Kayang menjadi naib johan. Tempat ketiga dimenangi oleh SK Tengku Budriah dan keempat, SK Seri Indera. – HARAKAHDAILY 11/7/2023











