Meranduk pertemuan bersejarah ‘dua kerajaan’ (Bhg.1)

- Advertisement -

PERJALANAN masa selama kurang lebih 5 jam 18 minit sejauh jarak 349 kilometer dari Bentong ke Ajil melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2 ) ibarat hikayat seribu satu malam, datang dan pulang umpama mimpi di dalam mimpi.

Seawal jam 5:00 pagi mobil perang merah hati Perodua Alza meluncur laju bagi mengejar azan Subuh di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) titik tengah Semenanjung, meninggalkan bandar Bentong lena dibuai mimpi.

Teraju PAS Kawasan Bentong, Yang Dipertua (YDP), Cikgu Khairuddin Abdullah atau lebih mesra disapa ‘Cikgu Din’ bersama Setiausaha beliau, Ismail Mohamad dalam perjalanan mengadakan kunjungan hormat menemui Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil (ADUN), 

YB Ustaz Maliaman Kassim pada pagi Ahad, 11 Jun 2023.

Pertemuan mahabbah empat mata tersebut bertujuan merintis jalan kerjasama antara kedua belah pihak, saling bertukar ide dan pandangan serta mengutip ilmu dan pengalaman untuk manfaat jamaah.

Walaupun kesihatan Cikgu Din agak kurang baik, tetapi dek kerana sokongan sahabat sebagai teman pengiring, Ketua Penerangan Kawasan, Mustafa Abu Bakar, Timbalan Ketua Pemuda, Haziq Darul Salam, Ketua Assabiqun, Yatim Abu dan Penolong Setiausaha-1, cikgu Tuah Tonel, semangat beliau membugar memamah kesakitan!

Hulu Terengganu atau Ulu Terengganu merupakan sebuah daerah terpencil di Negeri Terengganu. Namun, kerana kewujudan projek hidroelektrik Kenyir di empangan terbesar Semenanjung Malaysia, daerah itu semakin dikenali.

Penemuan artifak bersejarah Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buluh, sebuah kampung di Hulu Terengganu, menyatakan daerah ini mula-mula menerima Islam di Terengganu malah di Malaysia, memalarkan lagi ingatan kita pada ‘daerah ulu’ ini.

Ajil, salah satu daripada empat DUN dalam daerah Hulu Terengganu merupakan sebuah pekan kecil terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Kuala Terengganu (KT). 

Penulis membayangkan, jarak di antara Ajil ke KT jauh berbatu-batu. Ketika pulang ke rumah membelek peta, Allahu, hanya kurang lebih 30 minit sahaja jika berhajat mencairkan mata wang anda di sana. 

Destinasi tujuan kami adalah Kampung Tok Randok, Ajil. Membelek carian di laman maya, Tok Randok merupakan sebuah pekan kecil terletak kira-kira 2.7 kilometer dari Pekan Ajil.

Berdasarkan maklumat, pada suatu ketika dahulu dikatakan kawasan Tok Randuk ialah kawasan berpaya. Untuk keluar ke jalan utama, penduduk kampung perlu meredah kawasan paya.

Ketika itu, perkataan meredah biasa dipanggil ‘meranduk’. Jika disebut dalam loghat Terengganu ia disebut ‘randok selut’. Oleh sebab itu kampung ini diberi nama ‘Tok Randok’. Adapun perkataan ‘Tok’ merujuk kepada orang tua yang telah lama tinggal di situ.

Ketika jari leka menguis-nguis skrin telefon bimbit mencari info, tiba-tiba mata tertancap pada satu laman sesawang, ditulis tajuknya, ‘Warung Amilin, Kampung Tok Randok, Ajil’.

Posting itu bertarikh 15 Mac 2023. Wah, baru tiga bulan dimuat naik, menunjukkan warung ini masih hidup dan wujud. Menu panas pilihan rakyat, ikan baung gulai tempoyak bersulam lauk-pauk kampung Ajil. Masya-Allah, ini benar-benar ‘pilihan raya’!

Beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 4 petang. Kemudian, dari jam 6 petang hingga 12 malam, jarak warung ini dari Kampung Tok Randok hanya sejauh 550 meter? 

Segala puji bagi Allah ‘taqarrub’ kan kami dengan pelbagai nikmat. Bermusafir dan berukhuwah, tidur sebantal, makan sedulang, itulah kegembiraan orang berjuang.

Jarum waktu di tangan menghampiri jam sembilan pagi. Kami menyusur keluar (exit) di Tol Ajil, meneruskan perjalanan berbaki kurang lebih 10 kilometer sebelum dijangka tiba di Kampung Tok Randok, dalam pukul 10 pagi.

Melalui pintu masuk utama dari jalan yang sedikit berbukit, pengunjung sudah dapat melihat papan tanda hijau sepanjang lebih kurang dua meter tersergam indah di dinding luar bahagian atas rumah tertera perkataan ‘Markaz Tarbiyyah Islamiyyah, Kampung Tok Randok, Ajil Terengganu’.

Di sebelah papan tanda tersebut, merintang pula sebuah sepanduk berukuran dua ke tiga depa digayut dan diikat antara dua besi tingkap nako. Di sini tertulis perkataan, ‘Markaz Induk PRU15, N24 DUN Ajil’.

“Assalamualaikum puan,” penulis menyapa seorang Muslimat pertengahan umur 60-an sedang duduk di sebuah meja panjang di luar bangunan rumah kayu dua tingkat itu.

Terbit rasa bersalah di dalam hati, ‘Allahuakbar, puan ni baru je buka bungkusan nasi, rasanya belum sempat lagi beliau menyuap ke mulut’. 

“Maaf banyak puan, kami dari PAS Kawasan Bentong hadir ke sini untuk bertemu ADUN Ajil, ini YDP kami,” belum sempat bersapa lebih, puan tersebut sudah teruja untuk menjawab.

“Saya pun cikgu juga, cikgu Feah bukan Rafeah Buang ya,” sambut beliau. Jari kanannya masih digumam mungkin melekit diseliputi ulas-ulas nasi.

Tup, muncul dari dalam seorang Muslimat bertudung ungu mauve. “Maafkan kami, baru bersiap-siap. YB kabo pukul berapa ya, pertemuan ini?” tanya Kak Zah (Ketua Penerangan Halwa Dun Ajil) kesipuan.

Dari tingkat atas rumah kayu tersebut, sayup-sayup terdengar dari hujung telinga gerakkan lembut kaki manusia saling berebut menapak sepertinya menolak dan menyorong sesuatu… ‘eeok eeok’

Tidak lama kemudian, terpacul dari tangga atas seorang ‘jejaka berkaca mata’, segak berkopiah, berbusana korporat hijau, berlari-lari anak menyambut ketibaan kami.

Sebenarnya kami sampai awal dua jam dari sesi temu yang dijanji. Ini menyebabkan situasi kelihatan macam kalut. Hakikatnya, tuan rumah dalam tempoh bertenang, tetamu sebenarnya yang keghairahan, tidak sabar untuk bersua tuan rumah.

Kami dipersilakan masuk ke satu ruang hijau sementara menunggu ketibaan yang dinanti. Seorang demi seorang tampil menyantuni. Bermula dengan (jejaka kaca mata) Ustaz Ahmad Furqan Ismail, Setiausaha Majlis Tindakan Dun (MTD) Ajil disusuli saudara Makhtar Mohd, Timbalan Pengarah MTD Ajil.

“Maaf tuan YDP dan sahabat-sahabat semua. YB dalam perjalanan, insya-Allah beliau tiba sebentar lagi. Jemput minum dulu ya, makan apa yang ada,” ujar saudara Mokhtar.

Di atas meja, kuih-muih siap sedia tersusun. Karipap diiring pengat tradisi orang Pantai Timur. “Ehh, macam bukan pengat ni,” ujar orang ‘Barat’ teruja. “Bukan, tu pisang sira,” jawab orang ‘Timur’ senyum.

Belum sempat tubuh panas menghirup secangkir teh pengubat letih, masuk seorang warga emas pertengahan usia. Perbualan terhenti… Inikah orangnya?

Penulis akan mengungkap jawapannya di dalam bahagian kedua bersama satu ‘kejutan terbesar’. Nantikan.

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -