
BUAT pertama kali dalam sejarah negara, Menteri Kesihatan akan disaman kerana membuat dasar yang membahayakan kesihatan awam.
Badan NGO bagi kesihatan dan hak asasi kanak-kanak telah memfailkan saman atas kegagalan Dr Zaliha melindungi kepentingan awam, terutamanya kanak-kanak, apabila bertindak mengeluarkan cecair nikotin dari Akta Racun 1952 bermula 1 April 2023 jumaat lalu.
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) mewakili lebih 40 pertubuhan, telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan arahan Menteri mengeluarkan cecair nikotin sebagai racun.
Pada ketika ini, tidak ada satu pun undang-undang di Malaysia untuk mengawal penjualan rokok elektronik dan cecair bernikotin. Bermakna kadar nikotin tanpa had di dalam cecair rokok elektronik dan juga tiada larangan untuk menjualnya kepada kanak-kanak bawah umur.
Hal ini mencetuskan kegusaran dalam kalangan badan-badan kesihatan dan ibu bapa apabila bilangan pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin meningkat akibat terlalu mudah didapati dalam pasaran.
Menteri juga didakwa atas tindakan melanggar keputusan Lembaga Racun dan dengan sengaja telah melengah-lengahkan usaha untuk meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau, yang sehingga kini masih tidak ada jaminan daripada Menteri bilakah ianya akan dibentang semula dan dibahaskan di Parlimen.
Tindakan saman kepada Menteri Kesihatan atas keputusan kurang bijak yang dilakukannya jelas menunjukkan kegagalan kerajaan madani dalam melindungi kepentingan kesihatan awam, dan kegagalan Menteri Kesihatan Madani.
Salam amal.
MOHD FIRDAUS MOHAMED NAWI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS
Negeri Kelantan
14 Zulhijah 1444 / 4 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 4/7/2023




















