
BAYARAN haji
Bayangkan jika anda berpendapatan perisi rumah RM10,000, anda perlu membayar RM30,000 untuk mengerjakan haji. Hanya kerana anda berpendapatan suami isteri RM10,000, dengan gelaran T20 paling bawah anda diiktiraf sama dengan T20 yang menjadikan helikopter sebagai pengangkutan keluarga.
Atau bayangkan juga anda berpendapatan kurang dari RM5,000 tetapi perlu membuat rayuan atas sebab-sebab tertentu, anda juga perlu membayar RM30,000. Tiba-tiba sahaja anda menjadi T20 walaupun setiap hari menantikan ‘rahmah’ kerajaan madani yang semakin hilang satu persatu.
Caj elektrik
Walaupun anda B40 secara pendapatannya tetapi ada menggunakan jumlah elektrik yang agak banyak setiap bulan mungkin atas faktor bilangan pengguna di rumah ramai, anda akan dilayan dalam bil seolah T20.
Atau sebenarnya anda T20 di atas kertas pendapatan tetapi menggunakan elektrik sekadar bilangan kecil dua orang, anda tidak dicaj sebagai T20 tetapi diberikan rahmah subsidi menggunakan hak B40 yang dirampas tadi.
Sepinggan nasi
Mudahnya harga sepinggan nasi yang dahulunya RM5 sepinggan dengan satu lauk, telah menjadi RM7 ke RM8 dan boleh mencecah RM9 hari ini mengikut jumlah sukatan yang sama dalam tadbiran kerajaan madani.
Caj sepinggan nasi telah ditanggung oleh pengguna ekoran subsidi ditarik dan harga bahan mentah yang kian mahal. Boleh jadi kalau beras diproses tanpa menggunakan elektrik, atau dimasak tanpa bawang, garam, gula, kicap dan sebagainya yang telah dicaj mahal kepada kilang, harga sepinggan nasi boleh kekal RM5.
Tetapi malangnya semua caj-caj yang ditunggang kerajaan madani akhirnya dibayar oleh rakyat yang tidak mampu menggunakan plat nombor ‘Isteri Perdana Menteri’ atau anak perempuan menumpang ‘helikopter ayah’ yang sudah jadi Perdana Menteri.
Rosak subsidi dan rakyat menanggung kos hidup mahal dek kesombongan kerajaan madani.
Salam hormat.
MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
14 Zulhijjah 1444 / 3 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 3/7/2023




















