Pengorbanan paling besar laksana syariat Allah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Berjuang bagi melaksanakan syariat Allah dan segala suruhan-Nya merupakan pengorbanan yang paling besar bagi umat Islam.

- Advertisement -

Begitu juga usaha bagi melaksanakan sebuah negara yang mengamalkan dasar-dasar Islam adalah satu jihad.

Dewan Ulamak PAS Kelantan pada khutbah Hari Raya Aidiladha berkata, mempertahankan segala apa yang telah diusahakan daripada sistem-sistem yang menepati kehendak syarak juga satu jihad.

“Sudah pasti jihad memerlukan pengorbanan dari segenap sudut. Alhamdulillah kita berjaya membina sebuah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai panduan utama dalam pentadbiran.

“Selama 33 tahun kerajaan Kelantan terus menjadi model sebagai sebuah negeri Islam yang membawa dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sejak tahun 1990,” katanya.

Menurutnya dasar tersebut digagas dengan tujuan agar rakyat memahami Islam adalah agama yang mesti menjadi panduan dalam setiap gerak kerja sama ada di peringkat individu, masyarakat dan negara.

Katanya nilai Islam tidak boleh dipisah walaupun sesaat daripada urusan keduniaan.

Pelaksanaan MBI memberi tumpuan kepada lima aspek iaitu melaksana syariat Islam, pembangunan pendidikan, ekonomi, pentadbiran, sosial dan budaya.

Menurutnya gagasan tersebut mengandungi tiga teras iaitu ubudiah, masuliah dan itqan. Undang-undang syariat semestinya menjadi objektif utama dalam perjuangan menegak agama Islam.

“Dalam kuasa yang terhad kerajaan Kelantan telah sedaya upaya berusaha memastikan perintah-perintah Allah dipatuhi dan ditaati.

“Akaun simpanan tetap kerajaan negeri dipindahkan daripada sistem perbankan riba kepada sistem perbankan Islam. Premis judi ditutup, penjualan arak dikawal dan dilarang dijual secara terbuka.

“Usaha-usaha tersebut menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2023

- Advertisement -