
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meningkatkan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata terdapat lebih 200 GLC yang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Memandangkan negara kita mempunyai mempunyai lebih kurang 90,000 graduan IPTA setiap tahun, saya fikir kerjasama GLC dan IPTA perlu dipertingkatkan setiap tahun,” katanya dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Menjawab persoalan ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato Muhammad Yusof Apdal berkata, KPT tidak berhenti-henti mengambil tindakan untuk mengatasi isu kebolehpasaran graduan IPTA.
Beliau menyatakan beberapa inisiatif telah dilakukan seperti kerjasama antara Universiti Malaysia Kelantan dan beberapa GLC.
“Perdana Menteri baru-baru ini telah melancarkan Invest Aid, iaitu kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti dan KPT. Ini bertujuan memastikan kebolehpasaran graduan dapat kita pertingkatkan dengan beberapa sasaran yang kita harapkan dalam jangka masa 3 tahun,” katanya.
Beliau turut berharap untuk menambah baik usaha kebolehpasaran graduan kerana ini adalah usaha berterusan KPT untuk menggalakkan industri bekerjasama dengan IPT. – HARAKAHDAILY 22/6/2023




















