Tumpukan isu kebolehpasaran graduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, meminta kerajaan menyatakan inisiatif bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan.

“Berapa peratus kebolehpasaran graduan kita dan adakah pihak kementerian mempunyai inisiatif untuk mengadakan kursus baharu yang memenuhi keperluan industri supaya graduan kita apabila keluar, tidak bekerja di luar bidang mereka,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, ketika menjawab persoalan ini berkata, kadar kebolehpasaran graduan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) adalah 90.2 peratus.

Pada masa sama, katanya kementerian berusaha mempertingkatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah pilihan terbaik dan bukan pilihan kelas kedua.

“Perbandingan antara graduan biasa dan TVET adalah jauh berbeza. Jika TVET boleh mendapat jangkauan hingga 96 peratus, tidak mustahil graduan TVET mendapat pekerjaan.

“Kementerian juga menggalakkan lulusan diploma dan sijil meneruskan pengajian hingga peringkat ijazah, terutama TVET bagi memastikan kebolehpasaran mereka menjadi lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -