Apa erti negeri makin membangun, sedang rakyat terusir?

- Advertisement -

KERAJAAN DAP giat menjalankan agenda pembangunan berupa rancangan bersifat mega dan mewah di dalam negeri ini.

Hakikatnya pembangunan itu jauh dan tersasar daripada hasrat untuk menyelesaikan segala permasalahan yang ditanggung oleh rakyat sejak sekian lama dan berlanjutan sehingga kini.

Pelan pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan DAP itu dilihat hanyalah untuk menjayakan agenda politik mereka.

Objektif pembangunan dilihat jelas tersasar di mana salah satu projek itu ialah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Objektif PTMP adalah untuk menangani kesesakan trafik seperti yang dicadangkan oleh Konsultan Halcrow tetapi dilihat terang-terang telah melencong dari tujuan asal.  

Ini apabila cadangan baharu oleh SRS Konsortium di era pemerintahan DAP dengan kos yang dikemukakan Halcrow sebanyak RM10 bilion ketika itu meningkat kepada RM46 bilion oleh SRS.

Maka bermulalah cadangan penambakan tiga pulau di Selatan Pulau Pinang oleh pihak SRS atas alasan untuk mendanai projek mega itu.

PTMP sudah jadi ‘Penang Development Master Plan‘ (PDMP). Bukankah itu tersasar? Juga bermulalah episod memasukkan terowong bawah laut, LRT dan Penang Island Link (PIL) atau lebuh raya berkembar. 

Bukankah melalui projek itu membuka laluan untuk memperbanyakkan kemasukkan kenderaan? Sudah tentu aliran trafik di dalam pulau akan menjadi semakin buruk.

Tempat letak kenderaan yang sedia adapun tidak mampu menampung jumlah kenderaan terkini, apakah masalah ini dapat ditangani jika wujud projek-projek itu? Itu konsep ‘Pak Pandir’ namanya.

Sepatutnya projek memperkasakan pengangkutan awam perlu difokus dengan bersungguh-sungguh.

Jajaran LRT yang dicadangkan pula bermula daripada KOMTAR ke Bayan Lepas itu juga dilihat bukan untuk mencapai objektif PTMP, sebaliknya mempunyai agenda pembangunan hartanah, perumahan mewah dan sebagainya. 

Sudah tentu sasarannya ialah Daerah Barat Daya yang majoritinya komuniti masyarakat Melayu bakal terkesan. Demografi penduduk juga bakal berubah dengan kemasukan projek-projek mega dan mewah itu.

Apa ertinya pembangunan berkembang pesat jika rakyat tidak mampu memilikinya? Secara automatiknya komuniti masyarakat Melayu dan rakyat marhaen semua kaum terpaksa angkat bungkus ke mana? Tak tahulah!

Rumah-rumah sedia adapun tak mampu dimiliki (mampu tengok), inikan pula projek perumahan yang bakal dibina hasil rangkaian projek mega itu? Sudah tentu harga kayangan.

Bolehkah golongan B40 dan M40 memilikinya? Tak kiralah apa bangsa baik Melayu, Cina mahupun India daripada rakyat Pulau Pinang bakal disisihkan oleh arus pembangunan yang sudah tentu tiada nilai kebajikan dan tiada nilai kemanusiaan.

Hanya ada cumalah nilai persaingan tanpa kawalan. Golongan kaya sahaja memonopoli pembangunan itu.

Wajarkah kerajaan memfokuskan program second home untuk pembeli-pembeli dari negara seumpama Taiwan, Singapura dan lain-lain negara sedangkan ramai rakyat yang tidak memiliki rumah?

Benarlah pepatah yang menyebut ‘Kera di hutan disusukan sedangkan anak di pangkuan mati kelaparan’. 

Pemimpin kerajaan pula dilihat mengaut keuntungan melalui kroni-kroni, kerja buat duit dan menyalahgunakan slogan projek ekonomi kerajaan walaupun rakyat dimangsakan.

Itulah penipuan bersiri oleh pemimpin Kerajaan DAP-PH Pulau Pinang.

Apa yang dilihat, pemimpin kerajaan bertindak seperti scammer kepada rakyat sendiri. Itu bukannya politik pemimpin, sebaliknya politik penjajah.

Sebagai solusinya ialah rakyat Pulau Pinang berbilang bangsa ini wajib selamatkan Pulau Pinang sebelum terlambat daripada DAP-PH di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.

“Penang Jom Kalih”

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -