
JERANTUT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud, hari ini mendengar rintihan kaum India berkaitan kuil di Kampung Muhibbah yang perlu dirobohkan.
Beliau menemui ketua cawangan MIC kampung itu, Shivanathan N. Bhaskaran untuk mengetahui berhubung perkara itu dengan lebih lanjut. (Foto atas)
Menurut Shivanathan, penduduk menerima arahan kuil itu perlu dirobohkan kerana terletak di atas rizab tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Penduduk beragama Hindu di sini berasa sedih kerana tempat ibadat yang telah sekian lama hampir 40 tahun ini bakal dirobohkan,” katanya yang juga Naib Pengerusi MIC Bahagian Jerantut.
Sementara itu, Ustaz Zuridan menasihati penduduk agar mengadakan pertemuan dengan pihak berkenaan.
Ini, katanya bagi mendapatkan pandangan kedua-dua belah pihak berhubung perkara itu.
Beliau menyeru agar diadakan pertemuan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan damai dan harmoni tanpa berlakunya sebarang salah faham.
“Di pihak saya, saya telah cuba usahakan dahulu, namun kini sudah tiada kuasa di negeri Pahang ini.
“Kami adalah sebagai pembangkang, hanya boleh bersuara tetapi tiada kuasa,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS negeri.
Justeru, beliau berharap, pihak berkenaan dapat mencari jalan terbaik demi kebaikan para penduduk di situ.
Ustaz Zuridan menemui penduduk terbabit semasa aktiviti ziarah enam buah rumah kaum India di kampung itu.

Sementara itu, pihak kuil mengucapkan terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damak atas sumbangan-sumbangan yang telah diberikan kepada masyarakat India setempat. – HARAKAHDAILY 21/6/2023











