
N’Golo Kante akan meninggalkan Chelsea selepas tujuh tahun di Stamford Bridge dan menyertai Al-Ittihad sebagai ejen bebas dengan kontrak tiga tahun.
Menurut Al-Ittihad, pemain antarabangsa Perancis yang menyertai kelab London barat dari Leicester City pada 2016, akan bergandingan dengan rakan senegara dan pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema.
“Jangan percaya berita palsu. Kante adalah pemain Ittihad sekarang,” tulis kelab itu dalam mesej video di Twitter.
Media Britain melaporkan pemain tengah berusia 32 tahun itu telah menandatangani kontrak bernilai sekitar 86 juta Pound (AS$109.78 juta) setahun.
Benzema meninggalkan Real Madrid selepas 14 tahun yang sarat dengan piala dan menandatangani kontrak dua tahun dengan juara Arab Saudi itu dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai lebih 100 juta Euro (AS$109.17 juta).
Kante menjadi tonggak utama di Chelsea, memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Liga Europa dan Piala FA semasa bersama kelab itu.
Musim terakhir di Chelsea, Kante dilanda kecederaan dan terlepas 38 perlawanan dalam semua pertandingan menyebabkan kelabnya bergelut hingga menduduki tempat ke-12 liga.
Beberapa pemain berprofil tinggi juga dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, manakala Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak dengan Al-Nassr pada Disember dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai sekitar AS$220 juta setahun. – REUTERS











