Sultan Mizan menyeru bertanding PRN secara berhemah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru setiap parti supaya bertanding secara sihat dan berhemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi

- Advertisement -

Baginda bertitah, mereka yang bertanding itu nanti turut perlu mempamerkan akhlak dan teladan yang baik.

Sultan Mizan berharap agar tidak berlaku budaya yang melampaui batas seperti memaki hamun, caci mencaci dan seumpamanya.

“Beta juga berharap agar selepas sahaja tamat pilihan raya dan apa jua keputusannya nanti, keseluruhan rakyat beta akan kembali sepenuhnya kepada kehidupan yang harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda, di Istana Syarqiyyah, di sini semalam.

Sultan Mizan turut bertitah kepada rakyat negeri ini agar perbezaan fahaman politik tidak membawa kepada perpecahan dan menggugat asas penyatuan rakyat yang terdiri daripada 98 peratus Melayu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermazhab Syafie.

Titah baginda, kedudukan itu seharusnya menjadi asas penyatuan rakyat majoriti umat Islam Terengganu, berteraskan akidah yang satu dan teguh serta menjadi teladan kepada yang bukan Islam.

Ini, menurut baginda bersesuaian dengan negeri Terengganu yang diberi gelaran ‘Darul Iman’.

Dalam pada itu, Sultan Mizan mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan beserta keluarga dan seluruh kaum kerabat baginda.

“Terima kasih juga kepada para penjawat awam, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, khasnya mereka yang berada di barisan hadapan serta anggota-anggota pasukan keselamatan, di atas tahap dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Akhirnya, beta berdoa agar rakyat dan Negeri Terengganu Darul Iman akan terus dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya. Kepada Allah beta berserah,” titah Sultan Mizan.

Terdahulu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta Pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah, di sini.– TRDI.my

- Advertisement -