
TEMERLOH: Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri tidak lama lagi mampu menggugat kerajaan pusat, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, PRN itu sangat unik yang akan menggugat kerajaan pusat jika PAS bersama PERIKATAN NASIONAL dapat menawan Selangor dan Negeri Sembilan di samping mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Pilihan raya kali ini sangat penting dan unik. Jika kita dapat pertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan tawan Selangor, Negeri Sembilan, insya-Allah kerajaan pusat akan tergugat dan tidak mustahil akan jatuh,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada Ijtimak Pilihan raya PAS Pahang di Kompleks Al-Makmur, Kerdau dekat sini, semalam.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, Pesuruhjaya PAS Pahang dan Selangor, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi, Ketua Dewan Ulamak dan Muslimat negeri, Ustaz Zuridan Mohd Daud dan Salamiah Mohd Noor serta Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS negeri, Hamdan Abdullah.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mengingatkan para petugas parti supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah walau dalam apa jua keadaan.
“Bertaqwalah kepada Allah walau dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya taqwa kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan musuh dan juga sehebat-sehebat strategi dalam peperangan.
“Tentera Islam akan mendapat pertolongan dari Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh pihak musuh.
“Kalau bukan kerana maksiat tersebut, maka tentera Islam tiada kekuatan yang lebih daripada pihak musuh,” ujarnya menyingkap sirah pesanan Saidina Umar Al-Khatab kepada Sa’ad Abi Waqqas dan tenteranya ketika membuka Kota Parsi ketika itu.

Justeru, Ahli Dewan Negeri Cheka itu mengharapkan jentera pilihan raya dapat bekerja dengan ikhlas dan sabar dengan kerenah yang akan ditemui sepanjang perjuangan. – HARAKAHDAILY 19/6/2023











