
KERAJAAN Negeri Perlis sedar bahawa sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan permasalahan dalam kalangan rakyat perlu diberi perhatian.
Segala bentuk jenayah dan maksiat adalah wajib dibanteras bagi melahirkan masyarakat yang aman. damai dan harmoni.
Selari dengan tuntutan agama yang menganjurkan umatnya supaya berkelakuan baik dan menghindari segala perbuatan yang merosakkan diri.
Kerajaan negeri amat menitikberatkan keseimbangan dalam pembangunan fizikal, rohani, jati diri dan institusi keluarga.
Pendekatan secara holistik telah diatur bagi merealisasi hasrat kerajaan bagi membangunkan modal insan yang terbaik dalam kalangan masyarakat khususnya Perlis.
Oleh yang demikian, kerajaan negeri telah melakukan pemerhatian dan kajian terhadap aktiviti perjudian di Perlis.
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah bersetuju agar Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tidak memperbaharui semua lesen premis perjudian dan loteri di seluruh Negeri Perlis setelah tamat tempoh operasi.
Tiada lagi lesen baharu yang akan diluluskan oleh MPK selepas ini.
Dalam tempoh ini kerajaan negeri akan mengatur pelbagai program dan kempen yang berkaitan dalam usaha mendidik masyarakat tentang bahaya dan bahana judi dalam kehidupan.
Fokus kerajaan negeri adalah meneliti semua pelaburan yang masuk di negeri ini bagi memberi manfaat dan peluang pekerjaan khususnya anak-anak muda.
Semoga segala usaha murni ini menatijahkan Negeri Perlis yang lebih berkat dan sejahtera.
MOHD SHUKRI RAMLI
Menteri Besar Negeri Perlis
15 Jun 2023 / 26 Zulkaedah 1444 – HARAKAHDAILY 15/6/2023











