
HARI ini, sebuah lagi negeri yang diperintah oleh PAS dan PN telah mula menutup premis-premis judi. YAB Cikgu Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis, telah mengumumkan, tiada lagi lesen baru premis judi dikeluarkan, manakala lesen premis judi yang sedia ada tidak akan diperbaharui. Berikutan dengan itu, tiada lagi premis judi wujud di Negeri Perlis dalam tempoh beberapa ketika mendatang.
Hukum Islam berkaitan dengan pengharaman judi adalah jelas, sebagaimana juga diharamkan rasuah. Kegiatan judi akan menyebabkan satu pihak beroleh keuntungan, manakala satu atau beberapa pihak yang lain mengalami kerugian. Sekiranya kegiatan judi itu menjadi industri, pihak yang beroleh keuntungan adalah segelintir, manakala pihak yang mengalami kerugian lebih ramai.
Judi dan rasuah sama-sama menzalimi manusia yang lain, termasuklah manusia yang tidak terlibat dengan kegiatan kedua-duanya. Rasuah akan menyebabkan manusia yang lain turut terkesan dengan amalan rasuah yang dilakukan oleh pemberi dan penerima rasuah. Demikian juga judi, kesannya turut terkena kepada pihak lain selain daripada tauke judi dan tahi judi.
PAS sejak penubuhannya amat bertegas dengan kegiatan dan industri judi. Antara sebab sebahagian besar alim ulamak yang bersama Umno keluar menyertai bekas anggota-anggota Hizbul Muslimin menubuhkan PAS, disebabkan kegiatan judi ‘kebajikan’ yang mahu diperkenalkan oleh Umno. Oleh sebab itu, pemain-pemain industri perjudian sudah pasti tidak menyokong PAS.
Ketika ditimbulkan isu kekerapan Cabutan Khas Judi dinaikkan dari 8 kepada 22 kali, PAS konsisten menentangnya. Ahli-ahli Parlimen PAS mendesak bukan sahaja Cabutan Khas diharamkan, malah Cabutan Biasa yang kekerapan melebihi 100 kali setahunpun diharamkan. PH yang menimbulkan isu kekerapan Cabutan Khas senyap terhadap Cabutan Biasa yang berkali ganda kekerapannya.
Pada hari ini, sekali lagi PAS menunjukkan ketegasannya terhadap industri perjudian apabila Negeri Perlis menuruti Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak membenarkan lagi kewujudan premis judi di negeri tersebut. Sebagaimana yang disasarkan di dalam dokumen halatuju PAS, WINS, PAS mensasarkan Malaysia bebas dari industri perjudian satu hari nanti.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 15/6/2023











