
KOTA BHARU: Dasar berkaitan pengurusan serta pembangunan sumber mineral akan digubal kerajaan Kelantan sebagai perancangan dalam tempoh lima tahun.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Kelantan mempunyai kandungan nadir bumi dan gas yang banyak sebagai simpanan untuk pembangunan negeri.
Katanya, perkara itu memerlukan perancangan dasar yang teliti sebagai perancangan lima tahun lagi.
“Kita kena ada dasar yang mantap terutamanya dari segi pengurusan sumber hasil bumi dan sumber mineral nadir bumi.
“Mineral sebagai sumber masa hadapan kita, kalau kita boleh urus dengan baik baik, banyak benda boleh selesai,” katanya pada Diskusi 45 Minit – 33 Tahun Integriti Dipertahan bersama Pengarah Pusat Kajian Strategik, Dr Wan Nik Wan Yusoff malam tadi.
Diskusi itu disiarkan secara langsung melalui laman Kelantan TV.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS itu berkata, sekiranya perancangan tersebut menjadi kenyataan, kerajaan negeri dapat membangunkan Kelantan tanpa bergantung kepada sumber lain termasuk pembalakan.
Menurutnya juga ketika itu tidak perlu lagi menebang balak sebagai sumber hasil negeri.
“Sekarang hasil balak pun berada di nombor tiga dan bukan lagi hasil utama di Kelantan,” katanya.
Sebelum ini media mendedahkan Kelantan mempunyai banyak unsur nadir bumi atau Non-Radioactive Rare Earth Element (NRREE) yang dianggar bernilai RM125 bilion. – HARAKAHDAILY 14/6/2023











