
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperkenalkan kaedah permohonan Program Perumahan Rakyat (PPR) secara atas talian yang bertujuan untuk mengawal bilangan pemilikan perumahan sosial.
Menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), permohonan secara atas talian boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN) atau Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perumahan Negeri.
“Secara amnya, proses pengisian PPR dilaksanakan oleh kerajaan negeri tertakluk kepada prosedur, kelayakan dan proses yang ditetapkan oleh kerajaan negeri yang terlibat,” ujar KPKT dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Razali Wan Nor [PN-Kuantan] di Dewan Rakyat, semalam.
Wan Razali dalam soalannya meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah kawalan daripada pihak kementerian bagi menetapkan had bilangan pemilikan rumah kos rendah dan sederhana rendah kepada seseorang individu warganegara.
Kata KPKT lagi, bagi pengisian PPR di bawah seliaan kementerian pula, Jabatan Perumahan Negara (JPN) melakukan semakan silang untuk menapis kelayakan permohonan masuk program PPR iaitu semakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung maklumat penyeteman perjanjian perumahan atau Perjanjian Jual Beli (Sale and Purchase Agreement; SPA) atau yang setara.
Selain itu, ujarnya semakan dengan Pejabat Tanah bagi pemilikan harta pusaka dan semakan silang antara negeri akan dilaksanakan apabila sistem Analitis Data Raya (BDA) Perumahan selesai dibangunkan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan. – HARAKAHDAILY 13/6/2023




















