
LAWATAN lokasi hari ini ke tapak Perkhemahan Tahunan Amal (PTA) @ Jambori Jabatan Amal Malaysia kali ke-26 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun 2023 memberi seribu erti.
Setelah beberapa kali tertangguh penganjuran di Negeri Sembilan, Alhamdulillah kali ini Pemuda PAS Malaysia telah memuktamadkan Pemuda PAS Negeri Sembilan dan Jabatan Amal Negeri Sembilan sebagai tuan rumah penganjuran PTA Jambori Amal Malaysia.
Penganjuran kali akan berusaha sebaik mungkin untuk mengembalikan peranan besar Jambori yang menjadi medan perkaderan pelapis pendukung perjuangan seperti mana yang dihasratkan oleh YB Ustaz Idris Ahmad Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat.
Besar juga harapan yang diberikan oleh YB Ustaz P.022 Pasir Mas – Ahmad Fadhli Shaari selaku Ketua Pemuda PAS Malaysia terhadap penganjuran kali ini. Kami berusaha untuk meletakkan harapan dan hasrat YB Ketua Pemuda dapat dicapai dan dijayakan.
Penganjuran kali ini mensasarkan kehadiran dan pendaftaran lebih 500 peserta yang terdiri daripada anggota yang lama, baru, terlatih dan juga pelapis di semua peringkat tanpa kita menghadkan kehadiran bagi setiap negeri.
Saya mewakili seluruh kepimpinan Jabatan Amal Malaysia menjemput dan mengalu-alukan kehadiran para anggota Jabatan Amal Malaysia untuk berdaftar melalui negeri masing-masing dan kita semarakkan semangat berjambori dan berkhemah yang telah hilang penganjurannya disebabkan bencana pandemik bermula pada 2018.
Merindui, aktiviti bersama, memasang khemah bersama, memasak dan makan bersama. Sudah pasti kita juga merindui kalam-kalam taujihad pimpinan buat kita selaku semut merah yang sentiasa bersiap sedia dengan sebarang arahan dan tugasan yang diamanahkan oleh jemaah.
Bertemakan ‘Kebajikan tanpa sempadan, Memimpin kemenangan’. Insya-Allah saya yakin semut merah akan membuat satu kejutan besar dalam membantu gerak kerja jemaah, sehingga satu kemenangan di sisi Allah dan harapan jemaah dapat direalisasikan.
“Beramal Kerana Allah”
“Kebajikan Tanpa Sempadan, Memimpin Kemenangan”.
HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pengarah
Jabatan Amal Malaysia – HARAKAHDAILY 18/5/2023











