Amzad akui kempen tak langgar undang-undang

Amzad (tengah) bersama barisan peguam.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengakui keluar berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menemui seberapa ramai pengundi di sini tanpa melanggar sebarang undang-undang pilihan raya.

- Advertisement -

“Saya mengambil peluang keluar berkempen pilihan raya dan tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti menyalahi undang-undang pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam responden Wan Rohimi Wan Daud dalam Perbicaraan Petisyen Pilihan raya Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini.

Katanya, beliau mengambil peluang itu menemui pengundi di enam majlis yang dianjurkan kerajaan negeri Terengganu termasuk Majlis Penyampaian Bantuan i-Belia dan i-Siswa di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Dewan Terbuka Kompleks Seri Iman Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT) dan lain-lain.

Beliau tidak terlibat dengan program pembahagian wang kepada penerima bantuan tersebut tetapi hanya bersalam dan berpelukan dengan mereka.

“Saya berpeluk dengan ramai orang dan bersalam dengan mereka ketika kempen pilihan raya sebagai calon parlimen di maba sahaja saya pergi,” ujarnya.

Perbicaraan kes itu dijalankan di hadapan Hakim Pilihanraya Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pempetisyen Datuk Mohd Zubir Embong yang juga calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut diwakili oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, Muhammad Amin Othman, Norhazira Abu Haiyan dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arif.

Sementara respondan Datuk Ahmad Amzad diwakili peguam Wan Rohimi, Saifuddin Othman, Mohd Nasir Embong dan Azrul Rizal.

Keputusan perbicaraan kes tersebut akan didengar 27 Jun ini. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -