
TINDAKAN Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia Madani menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tentang kes kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan sebutan Solat dalam penerbitan agama Kristian pada Isnin lalu dianggap tidak mencerminkan roh madani.
Sepatutnya sebelum pihak Menteri KDN memfailkan Notis Pemberhentian rayuan pada 18 April 2023 terlebih dahulu perlu mengadakan libat urus dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).
Ini kerana kedua-dua agensi terbabit diberi hak oleh Mahkamah Rayuan untuk menjadi sahabat Mahkamah dalam penghujahan yang akan diadakan di Mahkamah Rayuan.
KDN juga sepatutnya konsultasi dengan semua pemegang taruh terutamanya, pihak intitusi diraja, yakni Tuanku Al-Sultan selaku Ketua Agama Islam di Negeri dan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan.
PAS Kelantan bimbang tindakan tergesa-gesa KDN tersebut dibuat kerana dipengaruhi pihak tertentu yang mungkin dalam kalangan sekutu politik kerajaan campuran Madani sekarang.
PAS Kelantan juga memohon ampun perkenan pihak istana, mencadangkan kepada Kerajaan Madani khususnya KDN agar bertindak lebih rasional dalam isu tersebut demi mempertahankan hak agama Islam terutamanya penggunaan kalimah Allah yang tidak perlu dikongsi dengan agama lain.
YB DATO’ USTAZ MOHD NASSURUDDIN DAUD
Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan
25 Syawal 1444 | 16 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 16/5/2023











