Perlis tolak pelabur cuba sogok dapat projek

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis sentiasa mencari sumber yang halal agar memperolehi keberkatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pendapatan dari sumber halal sudah pasti memberi jaminan dan keberkatan dalam pemerintahan.

“Kita sentiasa cari sumber yang halal, mudah-mudahan rezeki yang kita dapat walaupun sedikit ada keberkatan, Insya-Allah,” katanya di sini ketika dihubungi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mendedahkan terdapat segelintir pelabur cuba menawarkan rasuah untuk mendapat kelulusan melabur di negeri itu.

Kata beliau cara itu sangat tidak betul dan bertentangan dengan usaha kerajaan negeri mencari sumber yang halal bagi membangunkan negeri.

“Saya berjumpa dengan pelabur-pelabur terbabit. Kita tolak ungkapan hang boleh melabur di Perlis ini, tapi 10 peratus kena bagi dekat aku. Kita tidak mahu cara seperti itu.

“Saya jumpa ramai pelabur yang mai (datang), dia kata jangan bimbang YAB bagi sahaja dekat saya, dan akan bagi sekian-sekian. Saya tidak mahu cara-cara seperti itu,” katanya.

Menteri Besar menegaskan kerajaan PN Perlis sama sekali tidak akan menerima pelabur seperti itu bagi melaksanakan sebarang projek di negeri Perlis.

Malah beliau mendedahkan ada segelintir pelabur sanggup menghantar dokumen sampai ke kediamannya.

“Pelabur-pelabur yang berminat perlu bersaing secara sihat tidak perlu untuk menawarkan sesuatu kepada pemimpin kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/5/2023

- Advertisement -