
Ketika mesin penjaring gol Manchester City, Erling Haaland, tenggelam dan pasukannya memerlukan keajaiban, Kevin De Bruyne muncul penyelamat ketika menentang Real Madrid dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
De Bruyne yang berusia 31 tahun seperti pemain antarabangsa City lain yang berkualiti tinggi, tidak menonjol ketika musim pertama Haaland yang memecah rekod di England.
Haaland dari Norway menjaringkan 51 gol dalam semua pertandingan, tetapi mendapati pemain Real Madrid, Antonio Rudiger dan David Alaba, tidak seperti pertahanan tengah Liga Perdana yang dibulinya tanpa belas kasihan sepanjang musim ini.
Dia `disenyapkan’ tetapi De Bruyne muncul untuk memastikan City meninggalkan Bernabeu dengan keputusan seri 1-1.
Ketika Real kelihatan selesa dan mengancam untuk menambah pendahuluan melalui serangan ajaib Vinicius Jr, De Bruyne menunjukkan sekali lagi mengapa City sangat memerlukannya ketika mereka berusaha untuk memenangi buat kali pertama Liga Juara-Juara.
Rembatan padunya dari luar petak penalti dengan bola meluru seperti peluru berpandu melalui udara Madrid dan melepasi Thibaut Courtois.
“Kevin adalah pemain besar bagi kami. Dia sentiasa hebat dan membantu pada saat kami amat memerlukannya,” kata pemain tengah City, Rodri mengenai pemain Belgium itu.
“Kami sedikit menderita dengan corak permainan Real dan jaringan Kevin memberi kami keyakinan untuk terus mengasak,” katanya.
Gol ke-14 De Bruyne dalam Liga Juara-Juara untuk City bermakna dia adalah pemain pertama dalam sejarah Liga Juara-Juara yang menjaringkan gol dalam perlawanan berasingan di tempat lawan menentang Real dalam pusingan kalah mati.
Keputusan perlawanan ini juga memihak kepada skuad kendalian Pep Guardiola yang akan menjadi pasukan pilihan pada perlawanan kedua Rabu depan di Stadium Etihad, gelanggang yang mereka tidak tewas selama lima tahun dalam pertandingan itu.
Bagaimanapun, mereka perlu berhati-hati dengan pasukan Real yang berusaha untuk memenangi kejuaraan itu untuk kali ke-15.
Walaupun City menguasai perlawanan, terutama pada separuh masa pertama, Real mempamerkan ketenangan, tidak pernah panik dan kelihatan tajam dalam serangan balas.
Penyandang juara juga berjaya menutup hantaran kepada Haaland dan Vinicius Jr muncul pemain terbaik dalam perlawanan ini.
Tidak hairan pengurus veteran yang bijak, Carlo Ancelotti tidak kelihatan terlalu gusar kerana tidak memenangi perlawanan pertama.
“Kami perlu bermain seperti ini lagi minggu depan,” katanya yang memenangi Liga Juara-Juara dua kali bersama Real dan dua kali bersama AC Milan. “Strategi kami bagus, kami tidak bimbang apabila mereka menguasai bola. Kemudian babak kedua berbeza sama sekali.”
Guardiola juga gembira dengan apa yang dilihatnya, walaupun berkata beberapa pengubahsuaian mungkin diperlukan.
“Kami boleh bertahan dengan lebih baik di beberapa bahagian, mungkin kami boleh menyerang dengan sedikit berbeza. Alaba dan Rudiger sangat rapat mengawasi Erling, jadi terdapat sangat sedikit ruang. Mungkin kita boleh menyesuaikan beberapa perkara.” – REUTERS











