
Bos Real Madrid, Carlo Ancelotti percaya bahawa kelebihan mental terhadap Manchester City adalah penting apabila kedua-dua pasukan bertemu di Santiago Bernabeu dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, hari ini.
Ancelotti berkata, menewaskan Osasuna 2-1 untuk merangkul kejuaraan Copa del Rey Sabtu lalu, memberikan pasukannya keyakinan yang amat diperlukan ketika mereka bersedia untuk menerima kunjungan pasukan Pep Guardiola yang berada dalam prestasi terbaik.
Walaupun sedar bahawa pasukannya perlu berada pada tahap terbaik untuk menewaskan City, Ancelotti berkata mendapatkan kelebihan ke atas lawan boleh berada dalam fikiran dan juga di papan mata.
“Kami perlu bermain permainan sempurna esok dan sedar bahawa perlawanan penentuan itu akan menjadi perlawanan kedua. Matlamat kami adalah untuk bertandang ke Manchester dengan kelebihan kecil,” kata Ancelotti pada sidang akhbar, semalam.
“Bagi saya, kelebihan yang dimaksudkan bukan sahaja mengenai keputusan, tetapi sikap, mental juga adalah sebahagian daripada permainan.
“Jika anda bermain dengan baik, memberikan masalah kepada saingan anda, letakkan mereka dalam kedudukan yang tidak selesa, ia suatu kelebihan mental.
“Permainan bola sepak terdiri daripada beberapa lapisan dan mental adalah bahagian yang besar. Kami perlu bermain dengan baik untuk memberikan tekanan kepada mereka pada perlawanan kedua.”
Ancelotti berkata, pasukannya tidak menyediakan rancangan khas untuk menyekat penyerang City, Erling Haaland, walaupun memuji prestasi menakjubkan pemain Norway itu dan percikan yang dibawanya untuk serangan City.
Haaland mencipta rekod jaringan Liga Perdana minggu lalu, apabila menjaringkan gol ke-35.
“Kami tidak menyediakan perlawanan untuk menyekat seorang pemain, kami sedang bersiap untuk menghentikan keseluruhan pasukan yang kelihatan tidak dapat dihalang,” kata Ancelotti.
“Manchester City tidak mengubah gaya mereka demi Haaland. Mereka mempunyai lebih banyak pilihan secara menegak dengan menggunakan hantaran jauh dan pendekatan secara langsung. Namun, mereka masih pasukan yang bermain dengan sangat baik,” katanya.
Walaupun bercakap mengenai keperluan pendekatan seimbang, apabila ditanya mengenai strateginya, Ancelotti terlepas pandang bahawa pertahanan mesti menjadi keutamaan utama mereka: “Jika anda bertahan dengan baik, perkara paling buruk yang boleh berlaku ialah seri.
“Bagaimanapun tahun lalu, kami melepaskan lima gol dan menjaringkan enam gol untuk menewaskan mereka. Saya akan mengambil masa sekarang untuk mengulangi senario yang sama tahun ini.”
Pemain tengah Real, Toni Kroos juga menekankan kepentingan mengambil peluang jika mereka ingin mengalahkan pasukan seperti City.
“Kami mesti bermain dengan baik dan menjaringkan gol. Semudah itu,” kata Kroos pada sidang akhbar.
“Kemantapan pertahanan juga penting apabila anda berdepan saingan yang menjaringkan tiga gol setiap perlawanan. Kami perlu menjaringkan gol, tetapi saya percaya dengan pengalaman yang kami ada dalam perlawanan seperti ini.” – REUTERS











