
KANGAR: Pengambilan insurans ketika berkunjung ke Thailand penting sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku perkara di luar jangkaan.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Muhammad Ridzuan Abu Yazid berkata, hal tersebut sebagai persediaan awal jika berlaku kejadian seperti kemasukan ke wad, kemalangan, sakit secara tiba-tiba serta jangkitan Covid-19.
“Memandangkan kos rawatan di hospital swasta di Thailand berkemungkinan boleh mencecah beberapa kali ganda lebih tinggi dari tempat kita, maka pemegang insurans akan mendapat perlindungan risiko dalam menghadapi sebarang kemungkinan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail yang berkenan berangkat menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada dua masjid di wilayah Songkhla, Thailand.
Sumbangan diberikan berjumlah RM1,000 kepada setiap masjid dalam satu kenyataan, hari ini.
Baginda disambut mesra oleh Datuk Bandar Songkhla, Wanchai Parinyasiri; Timbalan Datuk Bandar, Wichakorn Buehom dan juga pegawai masjid ketika di persinggahan pertama, Masjid Asasul Islam.
Masjid kedua pula ialah Masjid Assalam yang wakilnya, Kittipong Saengbuamad, menzahirkan rasa terima kasih dan akan menggunakan duit sumbangan zakat MAIPs tersebut dengan sebaiknya.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Terdahulu, baginda berdua berangkat tiba di Songkhla City Park berdekatan Pantai Samila, berkenan mengadakan lawatan buat julung kali ke Muzium Ban Nakorn Nai yang diasaskan oleh Krachang Jaruprukphan.
Penubuhan muzium itu menghidupkan semula bandar lama Songkhla menerusi pameran barang antik seperti perabot, kayu, meja dan pinggan mangkuk zaman purba China serta potret Raja Bhumibol Adulyadej.
Baginda berdua diiringi oleh Presiden Majlis Pelancongan Songkhla, Chanin Sakarin. – HARAKAHDAILY 8/5/2023











