Majlis Ketua Kampung Kedah terima elaun bulanan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak 1,025 Majlis Ketua Kampung (MKK) seluruh Kedah akan menerima elaun bulanan yang bermula Februari lalu pada bulan ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, elaun MKK merupakan peruntukan sepenuhnya dari kerajaan negeri.

- Advertisement -

“Lantikan MKK juga sudah selesai dan memenuhi kuota lantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau berkata, lantikan MKK kali ini hanya melibatkan wakil parti dari PAS, Bersatu dan Gerakan.

Sebelum ini, elaun JPKK ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan, namun apabila berlaku perubahan pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, jawatan berkenaan digantikan dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan tidak melibatkan negeri.

Berikutan itu, Muhammad Sanusi berkata, sebanyak RM13.8 juta setahun diperuntukkan untuk pengurusan dan pembayaran elaun MKK.

“Dahulu elaun JPKK (sekarang MKK) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), tetapi sekarang sepenuhnya di bawah kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2023

- Advertisement -