
SAYA dibesarkan dalam keluarga PAS. Sehingga umur dewasa, saya menyokong PAS dan ahli PAS. Asas ketertarikan saya pada Agus mudah. Agus dilihat memperjuangkan nilai-nilai akademik, lantang dan keterbukaan yang tinggi sebagaimana keterbukaannya di pentas-pentas yang diatur PAS. Malah Agus vokal dan lantang menyatakan PAS akan kalah teruk dan hilang Kelantan dalam PRU-14. Lagilah saya terkesima dengan insan bernama Agus ini. Luar biasa bisik hati kecil saya.
Namun, kini PAS sudah berubah total. Perjuangannya demi mendaulatkan agama berterusan, dan usaha mendaulatkan agama terus berterusan tanpa gagal. Kegelojohan PAS untuk Islam dan menggunakan kuasa untuk mendaulatkan syiar berterusan di negeri-negeri yang ditadbir total. Kedah Kelantan Terengganu dan kini Perlis. Kegelojohan untuk menghapuskan judi berjaya dibuktikan sekudrat yang ada. Sebagaimana kaedah :
ما لا يدرك كله لا يترك كله
“Jika tidak didapati seluruhnya, jangan tinggalkan seluruhnya (yang mampu dikerjakan).”
Kini muncul Agus selaku Pengarah JKOM yang baharu yang seolah-olah meroyan selepas tamat belenggu Ramadan. Serangan kepada PAS tersebut tentunya penuh emosi, tanpa adab dan akhlak. Lihat sahaja catatan-catatan ‘muka bukunya’ yang tidak ubah seperti cybertrooper upahan yang hilang pedoman.
Tidak cukup dengan isu agama sinis terhadap PAS yang dimainkan, Agus turut memanipulasi isu lapuk yang seharusnya seorang yang mempunyai tahap intelektual tinggi tidak merapu meraban dengan fakta dan data yang melimpah yang amat mudah diakses oleh seorang yang menjawat jawatan Pengarah JKOM. Pelik sungguh Agus yang beria ingin menonjolkan diri pasca Ramadan. Agaknya kena cepuk kat bos untuk lebih beraksi, sebab gagal menjalankan gerak kerja JKOM?
PAS dahulu dan sekarang banyak berbeza wahai Agus. PAS dahulu parti kampung yang tiada siapa peduli dan ambil tahu. Kini bahtera PAS mara menjadi parti terbesar memenangi kerusi pilihan raya. Dahulu PAS hanya jaguh di Kelantan. Kini PAS mengatur tapak kental di Terengganu, Kedah, Perlis. Malah seni tari PAS menggerunkan PH di Pahang, Perak. Kini langkahan serta pencak silat PAS kian digeruni di Selangor, Pulau Pinang dan negeri-negeri PH yang sedang berpaut di dahan rapuh. Mereka cuba menggugat kemaraan PAS menjelang PRN Negeri kerana gelombang hijau diakui sukar dibendung lagi.
Dahulu PAS pertahankan kebenaran, kini PAS kekal bersama kebenaran. Bila Agus timbulkan isu air, sampah dan jalan sempit di Kelantan, penyokong PAS perbetulkan persepsi Agus yang ada baka Kelantan yang sewajarnya lebih dekat ikuti isu ini secara adil dan saksama. Bila diperbetul dan dikritik Agus mula beraksi ‘play victim’. Seolah PAS tidak boleh ditegur? Naratif ini sudah lama dimainkan oleh cybertrooper murahan, yang kini dimainkan Agus.
Menakjubkan, Agus bangga kononnya jawatan JKOM adalah demi membudayakan ilmu dan demi keharmonian rakyat. Mahu tergelak dengan kelaku Agus mutakhir ini.
Bagi penyokong PAS, kami meyakini parti kami istiqamah dengan dasar yang perjuangkan Islam. Kerana perjuangan istiqamahlah gelombang hijau memberi Igauan buruk terhadap pimpinan madani sekarang.
Pemimpin kami bukan seperti pemimpin madani yang ibarat sesumpah suci yang rela bertukar warna ikut keadaan yang menjengkelkan hukum dan agama. Joget pun ya, agama pun ya, asalkan dapat terima panggilan luar negara, tidak bertie, tidak ambil gaji, selalu berlari ke Parlimen, tidak bermercedes hanya berhelikopter terus menahan diri. Memang kartun sungguh! Agak-agak Agus ingin mendabik dada PH lebih istiqamah dengan prinsip perjuangan?
Saya sungguh tidak selesa dengan politik Agus sekarang. Kita tegur dan kritik, dianggap PAS ekstrem dan tidak boleh ditegur. Dahulu Agus lihat rasuah itu jijik, kini Agus lunak dengan pemimpin kanannya yang terpalit puluhan kes. Kes yang melibatkan Menteri, Agus diam dan bisu di tampuk kuasa. Walau Agus bukan latar belakang politik. Kelihatan sekarang Agus makin hilang pedoman politik. Dan kian menjelmakan gaya politik jijik, yang menyerlahkan kebencian, dendam dan prasangka terhadap PAS membabi buta.
Saya fikir cara Agus yang kian ‘melalak’ sebegini perlu ditolak. Saya harap sangat anak muda dan pengundi yang mahukan negara kita maju dan harmoni menolak politik dungu dan ‘benak’ sebegini. Negara kita perlu aman untuk rakyatnya hidup sejahtera tanpa slogan madani yang kian menjelmakan luar tabie berfasa.
Mujurnya, dalam PRU lepas kata-kata ‘Bila saya berpakat dengan Umno?, bila saya sokong Zahid? Bila saya sokong perasuah?‘ tidak menjadi modal untuk mereka menang total di Putrajaya. Kini mereka mula merasai tergugat dengan gelombang hijau yang semakin menjadi kenyataan. Alhamdulillah.
Bila melihat gambar ini, terus saya tersedar patutlah beria benar Pengarah JKOM ini beraksi.
AKHI MAL – HARAKAHDAILY 26/4/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02p8ZR213WKUswwHmzrM1mgkCdnjN329djtsbe7DQ7kd3UdZtL3gUmuFHt5eJ5ZxU9l&id=100000629532241&mibextid=Nif5oz
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.





















