
KUALA KRAI: Agak berbeza sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kesesakan lalu lintas agak ketara berlaku pada 1 Syawal terutamanya dari Pulai Chondong-Labok Machang apabila ribuan kenderaan terpaksa bergerak perlahan.
Kesesakan berlaku ekoran banyak kenderaan keluar dari simpang Tok Bok ke laluan utama menghubungkan Kota Bharu-Machang. Laluan tersebut menjadi alternatif pengguna jalan raya dari Pengkalan Chepa dan Peringat ke Machang atau Kuala Krai.
Begitu juga jalan dua lorong dari simpang empat Wakaf Che Yeh-Pasir Hor-Kubang Kerian berlaku kesesakan agak teruk pada sebelah petang.
Kebiasaannya perjalanan dari Kota Bharu ke Manek Urai, Kuala Krai mengambil masa sejam setengah, namun kelmarin melewati sehingga tiga jam.
Bagaimana pada sebelah pagi 2 Syawal keadaan trafik agak lancar, sedangkan tahun-tahun lepas kesesakan teruk berlaku di semua laluan utama di Kelantan apabila orang ramai mengambil peluang ziarah-menziarah.
Namun menjelang Zohor laluan Kuala Krai-Kota Bharu kembali sesak dengan limpahan kenderaan yang mulai bertali arus. Ekoran itu ramai pengguna jalan alternatif dari Pulai Chondong melalui Kampung Mata Ayer dan Kemubu untuk ke Kota Bharu dan Pasir Mas.
Aliran trafik juga lancar di bandar Pasir Mas, sedangkan sebelum ini ramai yang terperangkap dengan kesesakan agak teruk terutama apabila laluan di bandar Pasir Mas-Meranti ditutup ketika lokomatif keretapi melintas.
Orang ramai juga mengunjungi kedai makan atau restoran yang dibuka pada petang 1 Syawal seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang selepas sebulan tidak dapat berbuat demikian kerana perlu menjalani ibadat sempena Ramadan.
Begitu juga ramai melepak di kedai makan pagi tadi sambil menikmati sarapan pagi, yang menjadi kegemaran penduduk kampung di Kelantan.
Seorang perantau yang bekerja di Kuala Lumpur, Abdul Halim Ahmad, 45 memberitahu raya tahun ini keluarganya dapat berhari raya lebih lama di kampung memandang cuti sekolah lebih seminggu.
“Kami mengambil kesempatan cuti sekolah agak panjang untuk berhari raya di kampung dengan mengunjungi rumah sanak saudara dan sahabat handai,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 24/4/2023











