
KOTA BHARU: Selain bergiat aktif membantu rakyat Palestin, Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia (Cakna Palestin) bakal memiliki Tahfiz Al Quds di Kampung Hutan Pasir, Ketereh.
Pengerusi Tahfiz Al Quds, Nazri Deraman berkata, lot terbabit seluas 1.171 ekar telah selesai urusan berkaitan wakaf.
Katanya, NGO terbabit memperolehi kelulusan penubuhan Tahfiz Al Quds pada 9 Mei 2021 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), manakala kebenaran memungut derma diperolehi pada 9 November 2021.
“Kami menyiapkan kerja-kerja pembinaan pagar sempadan pada Julai 2022. Pembinaan seterusnya bangunan masjid yang turut akan dijadikan tempat belajar al Quran, hafazan, pejabat serta dewan utama.
“Masjid tersebut akan turut dibuka untuk kegunaan masyarakat sebagai tempat solat, belajar dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya di sini.
Nazri berkata, pihaknya melantik kumpulan perunding untuk menguruskan permohonan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI).
Menurutnya, permohonan itu dibuat selepas MAIK mengeluarkan surat kebenaran untuk membina bangunan pada 28 Mac lepas.

“Kami akan memulakan pembinaan setelah mendapat kelulusan daripada MDK-PI,” katanya.
Sehubungan itu beliau mengalu-alukan sumbangan, derma, infak dan khairat bagi pembinaan Masjid Tahfiz Al Quds.
Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Muamalat 0302 0002 458717.
Penyumbang disaran memaklumkan sumbangan (sertakan slip bank @ bukti transaksi) bagi membolehkan pihak urusetia menyediakan laporan perkembangan pembinaan.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Naib Pengerusi Tahfiz Al Quds, Ausaini Ibrahim di talian 019-9597373. – HARAKAHDAILY 19/4/2023











