AKSB pastikan loji rawatan air beroperasi maksimum

- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memastikan kesemua loji rawatan air (LRA) beroperasi dengan kapasiti maksimum dengan keseluruhan pengeluaran air melebihi 500 juta liter sehari (JLH).

- Advertisement -

Manakala kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di LRA-LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran air akan ditunda.

Begitu juga stok bahan kimia di LRA-LRA akan dipastikan mencukupi bagi pengoperasian loji sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus Besar AKSB Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, sebanyak 388 tangki statik bersaiz 500 hingga 2000 gelen ditempatkan di kawasan tekanan rendah dan lokasi sering mengalami gangguan bekalan air.

Katanya tangki diletak di lokasi-lokasi strategik untuk membolehkan pengguna mendapatkan bekalan air terawat jika berlaku gangguan bekalan air.

“AKSB menjangka penggunaan bekalan air akan meningkat sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini memandangkan cuti sekolah lebih awal bermula 19 April.

“Dengan pulangnya perantau permintaan bekalan air terawat akan meningkat,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya juga hari raya tahun ini memberi cabaran hebat memandangkan musim kemarau yang dialami semenjak sebelum Ramadan sehingga menyebabkan penyusutan air mentah terutama di muka sauk.

Kata beliau kesan begitu amat ketara di LRA Kelar di mana loji mengalami pengurangan air terawat sebanyak 17 JLH.

“Faktor tersebut memberi kesan kepada LRA Air Chicha di mana terdapat penerobosan air masin di telaga pengumpul jejari HCW Pasir Tumbuh.

Dr Nazmi Ghazali Azmi

“Ini menyebabkan kandungan chloride dalam air menjadi tinggi dan pengambilan air sungai (surface water) terpaksa dihentikan. Loji Chicha mengalami penyusutan lebih kurang 11 JLH,” ujarnya.

Katanya juga kejadian sebuah telaga runtuh di LRA Perol menyebabkan kurangnya air mentah untuk dirawat dengan pengurangan air terawat lebih kurang 2 JLH.

Langkah proaktif

Oleh itu kata beliau AKSB mengambil langkah proaktif membuat persediaan awal bagi menghadapi perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya bagi mengatasi penyusutan air mentah di LRA Kelar, kerja-kerja menggali terusan sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap menjelang Hari Raya dan dapat menampung pengurangan sebanyak 17 JLH.

“AKSB juga akan menambah bilangan lori tangki dan lori air kontrak untuk memenuhi permintaan di kawasan yang mempunyai permintaan bekalan yang agak tinggi seperti di Apam, Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

“Bagi menampung keperluan untuk LRA Chicha dan LRA Perol, lori-lori tangki air dan lori air kontrak akan ditambah sebanyak sebuah daripada 12 lori tangki air sedia ada.

“AKSB turut menyediakan 9 lori tangki air milik AKSB dan 31 lori air kontrak di seluruh jajahan dengan tambahan 6 lagi lori tangki air kontrak di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Timur, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok.

“AKSB memastikan kakitangan yang bertugas di Unit Mekanikal dan Elektrikal serta kakitangan terlibat dengan pengoperasian rawatan dan agihan air terawat sentiasa mencukupi,” ujarnya.

Dr Nazmi juga berkata, AKSB akan menyediakan perbelanjaan awalan kepada setiap jajahan untuk kegunaan kerja-kerja kecemasan bagi memastikan pergerakan operasi berjalan lancar.

Katanya, pemantauan dan kawalan terhadap tangki-tangki imbangan juga akan dilakukan AKSB bagi memastikan keperluan air terawat sentiasa dapat dipenuhi.

Sementara itu AKSB melalui Unit Hal Ehwal Pelanggan (PINTAS) akan menerima aduan daripada pengguna sepanjang tempoh perayaan.

Masa operasi talian aduan @ call centre pada Hari Raya pertama jam 10 pagi hingga 10 malam, manakala pada Hari Raya kedua dan seterusnya 8 pagi hingga 10 malam.

Bagaimanapun kaunter aduan ditutup untuk sementara waktu pada Hari Raya pertama hingga ketiga dan akan dibuka semula pada Hari Raya keempat.

PINTAS boleh dihubungi melalui talian 15777 atau WhatsApp ke 019-5755777 atau e-mel ke [email protected] atau muat turun aplikasi MyAKSB melalui Google Play Store dan App Store untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bekalan air. – HARAKAHDAILY 19/4/2023

- Advertisement -