44 pelajar YIK dapat mumtaz dalam STAM

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 44 calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) mendapat pangkat mumtaz (cemerlang) berbanding 31 calon pada 2021.

Daripada 44 calon berkenaan, seramai empat pelajar mendapat keputusan terbaik 10 mumtaz bagi semua mata pelajaran.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Azhar Salleh berkata, secara keseluruhan keputusan STAM 2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 4.96 peratus.

Katanya, pelajar yang mendapat keputusan terbaik ialah Hafiz Halimi Ahmat @ Ahmad, Mohamad Adam Rozani, Che Muhammad Hanif Che Zahari dan Najihah Sles.

“Mereka merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Tumpat dan Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor,” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail.

Seramai 1,118 pelajar sekolah YIK menduduki STAM pada 2022 melibatkan 25 pusat peperiksaan.

Daripada jumlah itu, 594 pelajar atau 50 peratus memperolehi kelulusan sekurang-kurangnya pangkat maqbul (lulus) untuk 10 mata pelajaran.

Azhar berkata, berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat memperolehi GPS (1.80) diikuti Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman (2.33) dan Maahad Muhammadi Lelaki (2.50).

“Saya mewakili YIK mengucapkan tahniah kepada semua pelajar cemerlang dan berterima kasih kepada pihak yang terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung di atas pencapaian tersebut,” katanya.

Menurutnya, pelajar cemerlang akan ditawarkan biasiswa Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.

Bagi calon yang gagal, katanya mereka masih diberi peluang untuk menduduki semula peperiksaan dan hanya perlu mengambil mata pelajaran yang gagal. – HARAKAHDAILY 19/4/2023

- Advertisement -