Kenyataan jual organ sekadar menggambar keperitan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Armada Nasional menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Machang
Wan Ahmad Fahysal Wan Kamal mengenai ada rakyat sanggup menjual organ sebagai menggambarkan keperitan hidup mereka.

- Advertisement -

Pengerusi Biro Kesihatan, Keluarga dan Alam Sekitar Dr Mohd Aleef Yussof berkata, apa yang cuba digambarkan tindakan seumpama itu dilakukan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, kenyataan itu bukan menggambarkan Armada menyokong atau menerima tindakan penjualan organ.

“Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Machang berkenaan keperluan mendesak rakyat untuk mendapatkan kebenaran pengeluaran KWSP secara bersasar bagi meneruskan kehidupan mereka.

“Kenyataan Wan Fayshal di Dewan Rakyat sebelum ini sebagai menggambarkan ada rakyat sanggup menjual organ sendiri kerana berdepan dengan situasi sukar sekarang,” katanya pada kenyataan di sini.

Menurutnya apa yang cuba digambarkan Wan Ahmad Fayshal keperluan mendesak rakyat bagi mendapat kebenaran pengeluaran KWSP secara bersasar sebagai penyelesaian jangka pendek.

Kata beliau pengeluaran KWSP secara bersasar bagi pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi sedikit sebanyak dapat membantu mereka menampung perbelanjaan tidak mencukupi.

Sebaliknya katanya cadangan kerajaan untuk menjadikan nilai simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman dengan bank akan menambah beban pencarum.

Baru-baru ini kenyataan Ketua Armada Nasional tersebut dijadikan polemik sehingga ada pihak yang meminta bukti berlaku penjualan organ.

Sebaliknya isu terbabit diangkat semata-mata bagi menggambarkan keperluan mendesak rakyat tanpa ada alternatif kerajaan termasuk kebenaran pengeluaran wang KWSP secara bersasar. – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -