SJKP: Segera sediakan pelan yang lebih strategik

- Advertisement -

PENERIMAAN institusi kewangan terhadap Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sebagai gantian kepada Skim Rumah Pertamaku (SRP) dilihat masih tidak mendapat sambutan sekali gus menyukarkan belia khususnya untuk memanfaatkan skim tersebut.

Hal ini kerana, kaedah yang disediakan iaitu pembeli rumah pertama mampu memiliki rumah tanpa membayar wang pendahuluan amat diperlukan bagi membantu khususnya golongan belia yang majoritinya tidak mampu menyediakan wang pendahuluan yang mencecah puluhan ribu. 

Buktinya, penerimaan golongan tersebut kepada SRP sebelum ini amat memberangsangkan di mana daripada 90,000 pemohon yang berjaya, 95 peratus daripadanya adalah pemohon belia yang berumur 25-40 tahun.

Tambahan pula, penerusan SJKP ini turut merangkumi mereka yang bekerja sendiri dan juga kumpulan ekonomi gig sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk memanfaatkan skim tersebut.

Oleh itu, kekurangan tawaran kepada skim tersebut amat menggusarkan banyak pihak sama ada pembeli mahupun pemaju yang berkemungkinan berdepan dengan isu rumah terbengkalai akibat kekangan pembeli untuk mendapatkan pinjaman penuh.

Justeru, pihak kerajaan sewajarnya menyediakan pelan yang lebih strategik dan holistik bagi menarik lebih banyak institusi kewangan untuk menyertai SJKP sesegera mungkin bagi memastikan rakyat dari golongan B40 dan M40 memiliki rumah kediaman sekali gus mampu mengurangkan jumlah rumah kos rendah dan sederhana yang tidak terjual.

“Malaysia Sejahtera”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 5/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -