PAS P.Pinang bakal miliki kompleks pentadbiran baharu

- Advertisement -

KOMPLEKS PAS Negeri Pulau Pinang bakal menjadi mercu tanda dan inspirasi kepada kepimpinan Parti Islam itu dalam melangsungkan kesinambungan perjuangan Islam di negeri ini. 

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menzahirkan keyakinan dan tekad tersebut ke atas usaha pihaknya merealisasikan pembinaan tersebut.

“Ini akan menyempurnakan tuntutan dakwah PAS dalam menyampaikan Islam kepada semua,” ujarnya memberitahu bahawa PAS Pulau Pinang kini memerlukan bangunan lebih besar untuk aktivitinya. 

Beliau merakamkan penghargaan tinggi kepada para As-Sabiqun terdahulu yang telah mencurahkan pengorbanan atas pembinaan bangunan sedia ada dan aktif diduduki hingga kini.

Berpusat dari situ, PAS Pulau Pinang telah menempa sejarah dalam memartabatkan perjuangan Islam di negeri ini antaranya peningkatan sokongan dalam pilihan raya. 

Pada PRU15 lalu, PAS atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN) berjaya merampas kerusi P.041 Kepala Batas daripada Umno-BN dan P.044 Permatang PAUH dari PKR-PH dan bertekad menang banyak DUN dalam PRN15 tidak lama lagi. 

Kompleks pusat pentadbiran itu bakal menggantikan bangunan uzur sedia ada yang juga akan meliputi pembangunan wisma pendidikan di Lot 2058, Pongsu Seribu, Kepala Batas. 

Tanah wakaf berkeluasan 2 ekar tersebut menempatkan Markas Tarbiyyah PAS Pulau Pinang selaku juga Pejabat Pentadbiran PAS Negeri, dewan mesyuarat, surau dan pra-sekolah PASTI.

Ianya diwakafkan oleh Almarhum Abdullah Lebai Mat atau lebih dikenali sebagai Pak Njang Lah oleh penduduk setempat di mana pindah milik tanah sudah selesai sejak tahun 2017 lagi. 

Pengarah Pembinaan Kompleks PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohamad Hanif Haron memberitahu, bangunan kayu sedia ada itu sudah berusia lebih 40 tahun dan kini dimamah usia.

“Tiba masa generasi sekarang melakukan usaha untuk meninggalkan legasi warisan perjuangan kepada generasi akan datang,” ujar beliau menyasarkan Fasa Pertama dengan anggaran kos RM2.5 juta itu siap dalam 18 bulan.

Pada pertengahan Mac lalu, pemasangan cerucuk telah dilaksanakan sebagai perasmian permulaan kerja-kerja pembinaan tersebut yang disempurnakan oleh Ustaz Fauzi sendiri.

PAS Pulau Pinang mengharapkan sumbangan ahli-ahli dan penyokong PAS bagi menjayakan usaha itu dengan transaksi boleh dibuat menerusi akaun Bank Islam 07043011031303 atas nama Kompleks PAS Pulau Pinang dengan rujukan ‘Pembangunan’.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim di talian 016-443 3205 atau Ustaz Hanif Haron di talian 011-6556 8691 atau hadir di alamat di atas. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -