
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat, yang bermula pada 13 Februari akhirnya melabuhkan tirai hari ini selepas berlangsung selama 31 hari.
Sepanjang tempoh itu, Dewan Rakyat meluluskan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja, Belanjawaan 2023, 12 Rang Undang-Undang (RUU) serta 3 usul dari pihak Kerajaan.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata pelbagai pembaharuan juga diterapkan dalam urusan Dewan sepanjang mesyuarat itu.
Antara pembaharuan berkenaan, katanya ialah Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dijawab oleh Perdana Menteri, manakala jumlah Pertanyaan Bagi Jawab Lisan melebihi 10 pertanyaan lisan pada setiap mesyuarat.
Selain itu, katanya seramai tujuh ahli daripada kerajaan dan enam daripada pembangkang mempengerusikan secara sementara Mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16 (5), sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Usul berkenaan perkara tadbir kerajaan di bawah Peraturan Mesyuarat 17 di Kamar Khas kali ini boleh diucap lebih daripada dua usul, iaitu maksimum empat usul daripada dua Yang Berhormat.
“Ini membawa kepada sebanyak 83 ucapan sudah dirunding di Kamar Khas pada kali ini dalam masa 29 hari,” katanya dalam ucapan penutup hari terakhir sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Johari berkata, sidang Dewan Rakyat juga kerap berlanjutan hingga waktu malam, malah terdapat hari yang sidang tidak ditangguhkan pada waktu rehat, iaitu jam 1 tengah hari, sekali gus menunjukkan kesungguhan Ahli Parlimen menyelesaikan urusan Dewan.
“Saya dan timbalan merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, yang memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan,” katanya.
Johari juga mengucapkan terima kasih juga kepada warga Parlimen, terutama pengurusan Dewan Rakyat, wakil media massa dan semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam pengendalian majlis mesyuarat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2023











