TRM Kedah: Nik Nazmi buat kenyataan bercanggah

Ustaz Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dinasihatkan agar memberi tumpuan kepada isu pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Rashdan Yusof daripada terus mencipta fakta yang tidak betul.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, menteri berkenaan membuat dakwaan yang bercanggah dari fakta sebenar berkenaan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kedah tanpa merujuk sumber yang sahih daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

“Lebih baik tumpu menyelesaikan isu Pengerusi Suruhanjaya Tenaga itu yang dikatakan mempunyai jawatan utama dalam Gamuda Bhd yang terlibat dalam projek tenaga boleh diperbaharui.

“Itu lebih baik daripada membuat kenyataan tidak betul tanpa merujuk data yang sebenar,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Ahmad, menteri terbabit cuba mempertahankan dakwaannya konon TRM di Kedah telah berkurangan sebanyak 5,351.65 hektar sepanjang tempoh 2021-2022.

Sedangkan ujarnya, maklumat terkini PTG Kedah bahawa sehingga Januari 2023 berjaya mengekalkan TRM seluas 721,905.61 hektar malah keluasan itu meningkat kira-kira 408 hektar berbanding 1993.

“Mengapa beliau (Nik Nazmi) tidak mendapatkan data terkini dari sumber PTG Kedah sendiri. Mengapa harus mengemukakan bukan data terkini?

“Adakah ia sandiwara yang sengaja dicetuskan untuk menimbulkan kecaman dan tohmahan ke atas kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor atau adakah naratif ini dirancang bersifat politik semata-mata,” soal Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Namun baginya, walau apapun situasinya, insiden itu secara tidak langsung memaparkan kelemahan Nik Nazmi sendiri sebagai menteri.

Dalam masa yang sama, PAS Kedah tetap berdiri teguh di belakang Menteri Besar dan yakin naratif yang sengaja dicetuskan itu tidak akan berjaya mempengaruhi sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri.

Sementara Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan yang dimuatnaik di media sosialnya hari ini memaklumkan dari jumlah 4,751.369 hektar TRM yang dicabut keluar dari tahun 1993 hingga Januari 2023, seluas 5,160.034 hektar telah diganti semula.

Justeru kata Ahmad, Kedah antara negeri yang paling tinggi mengekalkan TRM di Semenanjung Tanah Melayu selain Kelantan dan Terengganu, merupakan fakta yang tidak boleh disanggah. – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -