Birokrasi punca bantuan banjir tidak dapat disampaikan

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI: Birokrasi dan tindakan mempolitikkan isu yang masih wujud dalam usaha memberikan bantuan kepada kawasan dan mangsa terjejas banjir menyukarkan pihak-pihak sukarelawan memberi khidmat.

Abd Aziz Talib (PN-Maharani) menyuarakan kekesalan tersebut semasa berucap membahas Titah DiRaja pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini semalam.

Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengenai petugas yang tidak mencukupi dalam menangani keadaan banjir kali ini.

“Alhamdulillah pertemuan saya bersama agensi Khidmat Malaysia di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Muar pada 14 Mac lalu menyatakan kesediaan membantu sedaya upaya termampu melibatkan aset-aset yang ada.

“Jabatan Amal Malaysia turut sama terlibat dalam misi kali ini terutama misi penyelamatan dan pembersihan pasca banjir di Sekijang, Ledang, Pagoh, Parit Sulong, Batu Pahat serta Dapur Rakyat di Seri Medan dan Sri Gading.

“Terkini pada 19 Mac, anggota Alternative Riding Club (ARC) Johor turut sama membantu misi pembersihan di Seri Medan seharian, beberapa buah rumah berjaya dibersihkan dengan kerjasama penduduk,” ujar beliau kesal bantuan kepada mangsa tidak dapat disampaikan kerana birokrasi yang berlaku.

Menyentuh keadaan banjir yang terjadi, beliau mencadangkan supaya sistem perparitan longkang dirangka, selain pembersihan parit mengikut jadual, tanpa perlu menunggu aduan, selain peruntukan terus kepada ADUN-ADUN terlibat bagi membantu mangsa. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -