
TANGGA BATU: Muslim Care Malaysia membina sebuah rumah untuk keluarga ibu tunggal (armalah) melibatkan kos RM90,000 yang dikumpul dana daripada penderma.
Rumah tersebut dibina bagi membantu keluarga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Melaka Allahyarham Ustaz Hasri Hamdan, yang kembali ke rahmatullah pada Ogos 2021.
Balu arwah, Siti Nuur Aisyah Razali melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas sumbangan yang diberikan kepada keluarganya.
“Tak terbalas jasa sumbangan yang diberikan. Kami berjanji untuk memanfaat rumah yang dibina bagi membesarkan lima orang anak.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang, terutamanya Muslim Care yang kerap ‘turun-naik’ dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menguruskan pembinaan rumah,” katanya selepas menerima kunci rumah tersebut.
Sementara itu Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail berkata, rumah tersebut dibina hasil sumbangan dana daripada pelbagai pihak.
Menurutnya juga projek terbabit turut melibatkan Dewan Muslimat PAS Melaka yang mencadangkan nama Siti Aisyah dan dimulakan pembinaan tiga bulan lepas di Kampung Tengah, Merlimau, Jasin.
“Insya-Allah semoga sumbangan ini menjadi saham kepada seluruh penyumbang yang menjayakan pembinaan rumah Puan Siti Aisyah,” katanya.
Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang diadakan di Baitul Qurro, petang semalam. (Foto atas) – HARAKAHDAILY 20/3/2023











