
AYER KEROH: Surau Al Hikmah Bertam Hulu sehinga sekarang masih digunakan jemaah biarpun dikesan berlaku pergerakan tanah sehinggga boleh membahayakan orang ramai.
Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) berkata, surau tersebut disahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai tidak selamat lagi untuk digunakan.
Namun katanya sehingga sekarang tiada tiada arahan penutupan oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan harus membuat keputusan segera berkaitan status surau terbabit kerana ia melibatkan isu keselamatan orang ramai yang datang berjemaah di surau tersebut.
“Siri-siri pergerakan tanah dikesan berlaku di kawasan surau Al Hikmah Bertam Ulu,” katanya pada sidang Dun di sini semalam.
Dr Mohd Aleef juga berkata, sebelum ini difahamkan kerajaan melulus peruntukan untuk membaik pulih runtuhan tanah yang berlaku.
Bagaimanapun kata beliau kerja-kerja baik pulih tidak dapat diteruskan kerana surau berkenaan disahkan tidak lagi selamat untuk digunakan.
“Peliknya sehingga sekarang jemaah masih lagi dibenar menggunakan surau terbabit. Keadaan itu berlaku kerana tiada arahan penutupan surau tersebut,” katanya.
Oleh itu beliau berharap kerajaan negeri menutup segera surau terbabit dan membina sebuah surau baharu di lokasi yang lebih selamat bagi kegunaan penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 16/3/2023











