
KUALA LUMPUR: Sukatan mata pelajaran peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk peringkat Tingkatan 6 telah diguna pakai sejak kohort STPM 2013, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pada masa kini, KPM sedang menyemak semula sukatan mata pelajaran Tingkatan 6 agar sentiasa seiring dengan perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan negara.
“Buat masa ini, beberapa siri bengkel penyemakan sukatan pelajaran peperiksaan STPM serta sesi libat urus sedang giat dilaksanakan,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Zakri Hassan [PN-Kangar] yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan bilakah Kementerian Pendidikan akan mengubah sukatan pelajaran terutamanya sukatan pelajaran tingkatan 6 kerana ia sudah lama tidak disemak dan kurang relevan dengan keperluan masa kini.
Menurut KPM, fokus penyemakan merangkumi kerelevanan sukatan pelajaran peperiksaan dari aspek matlamat, objektif (ilmu, kemahiran, dan nilai), tajuk yang perlu diajar/belajar, waktu pengajaran bagi setiap tajuk, hasil pembelajaran yang sepatutnya dicapai oleh calon, skim petaksiran (format soalan dan wajaran) pada setiap penggal.
Di samping itu, jelasnya sukatan juga disemak agar ia selaras dengan sukatan A-Level yang dikelolakan oleh Cambridge Assessment International Education, United Kingdom (UK). Ini kerana Sijil STPM diiktiraf setaraf dari segi standard dengan A-Level kelolaan Cambridge Assessment International Education, UK sejak tahun 1982.
KPM turut mengambil kira ulasan dan maklum balas yang diberikan oleh pihak yang berkepentingan termasuk guru yang mengajar tingkatan enam, calon yang telah menduduki peperiksaan STPM dan pensyarah universiti dalam sesi libat urus.
“Semakan sukatan mata pelajaran peperiksaan STPM ini dijangka akan selesai pada tahun 2025. Tempoh masa melibatkan beberapa proses kawalan standard serta proses bagi mendapatkan kelulusan dipelbagai peringkat.
“KPM mensasarkan sukatan pelajaran peperiksaan ini akan dilaksanakan mulai Semester 1 STPM tahun 2026,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023











