
KUALA LUMPUR: Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan pada 7 September 2018 telah mengumumkan bahawa 10 kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dioptimumkan penggunaannya menerusi pelaksanaan guna sama dengan institut pendidikan lain.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) keputusan pewujudan guna sama itu turut dilihat sebagai satu langkah penjimatan dengan memaksimumkan penggunaan institusi pendidikan bawah KPM sepenuhnya.
KPM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz [PN-Tanah Merah] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau dalam soalannya meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan masa hadapan Kementerian untuk mengoptimumkan kemudahan pusat latihan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara yang ketika ini tidak digunakan sepenuhnya dan boleh merugikan perbelanjaan wang awam terutama dalam menampung kos kerja-kerja penyelenggaraan berterusan bangunan IPG dan juga perbelanjaan sumber manusia yang ditempatkan di IPG seluruh negara.
Pada masa kini, kata KPM, telah memutuskan agar pewujudan guna sama diteruskan di tiga kampus IPG.
Kampus IPG yang masih dikekalkan pewujudan guna sama sehingga kini adalah IPGK Tun Hussein Onn (IPGKTHO) dan Kolej Vokasional Tun Hussein Onn (KVTHO), IPGK Raja Melewar dan Kolej Genius@Permata Pintar serta IPGK Tawau dan Politeknik Tawau.
“Kapasiti sedia ada di kesemua 27 buah IPG boleh menampung 22,500 orang pelajar. Ia mencukupi untuk menampung keperluan latihan guru sekolah rendah pada setiap tahun berdasarkan unjuran KPM,” katanya.
Tambahnya, bagi memaksimumkan penggunaan IPG Kampus di seluruh negara, selain daripada penawaran latihan pra perkhidmatan kepada bakal guru (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)), IPG KPM juga menawarkan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan Program Diploma Perguruan (PDP) kepada siswazah lepasan universiti dan guru luar KPM. – HARAKAHDAILY 15/3/2023











