Bagaimana kaedah CDF diagih kepada ahli Parlimen

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertanya kepada Perdana Menteri bagaimana kaedah Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) akan diagihkan kepada wakil rakyat Parlimen.

- Advertisement -

Beliau yang juga Presiden PAS juga ingin tahu bilakah dana tersebut akan disalurkan.

Pertanyaan itu dikemukakan beliau pada persidangan Dewan Rakyat yang bermuka jam 10.00 pagi hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Ekonomi menyatakan adakah Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang telah lama dirancang kerana projek terbabit dijangka mampu menjad pemangkin untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat terutamanya dari segi sosioekonomi khususnya bagi negeri Perlis dan juga negara keseluruhannya.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk merealisasikan reformasi pendidikan di kalangan institut pengajian tinggi di negara ini.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Pertahanan menyatakan sejauh mana pelaksanaan skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran-veteran ATM yang tidak berpencen khususnya kategori B40.      

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan pelan tindakan serta strategi daripada Kementerian bagi memastikan kos bahan mentah sentiasa di dalam keupayaan rakyat, agar kos sara hidup rakyat Malaysia sentiasa terjaga.   

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apakah pendirian terhadap kebebasan bersuara dalam berpolitik dalam kalangan generasi muda di dalam medium media sosial.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Ekonomi menyatakan:
(a) statistik terkini kemiskinan mengikut kaum, agama dan negeri; dan
(b) apakah usaha Kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan ini.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apakah hala tuju internet luar bandar dan apakah solusi sementara bagi menangani isu capaian internet yang cukup kritikal di luar bandar ini dengan menggunakan banyak teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) membantu atasi masalah ini.      

Datuk Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan berapa ramai usahawan-usahawan yang telah gulung tikar dari waktu pandemik Covid-19 sehingga kini dan apakah usaha Kementerian untuk membantu usahawan ini dan sehingga kini sudah berapa ramai yang telah bangkit memulakan perniagaan semula.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Pertahanan menyatakan hala tuju Kementerian Pertahanan bagi program PERHEBAT untuk bakal pesara ATM dan adakah Kementerian berpandangan program ini masih relevan atau sebaliknya. 

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Ekonomi menyatakan pendirian Kerajaan mengenai Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) seperti yang telah digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Perdana Menteri menyatakan:
(a) adakah gagasan Malaysia Madani telah menggantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030); dan
 (b) di manakah kedudukan dasar dan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani dan jika ada, apakah pelan tindakan menyeluruh yang akan diambil oleh Kerajaan PH-BN dalam memacu agenda Bumiputera dan memantau pelaksanaannya.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan mengenai kebenaran pembinaan rumah generasi kedua di atas tanah lot generasi pertama yang tiada jawapan mutlak yang diberikan oleh Kerajaan mengenai hal ini.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Perdana Menteri menyatakan di era Kerajaan PH-BN ini, apakah perancangan dan bentuk peruntukan yang akan diberikan Kerajaan di kawasan-kawasan Ahli Parlimen pembangkang dalam memastikan rakyat yang membayar cukai kepada Kerajaan terus mendapat fasiliti dan dibantu secara adil dan menyeluruh serta pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas dapat dibangunkan terutama di Parlimen Pembangkang.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Perdana Menteri menyatakan apakah program kesedaran bencana alam dan intervensi yang telah diambil.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Ekonomi menyatakan inisiatif Kerajaan dalam membantu pembangunan infrastruktur dan penyaluran dana pembangunan untuk negeri-negeri Pantai Timur bagi mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan langkah untuk menaik taraf pelan jalur lebar di kawasan-kawasan luar bandar bagi memudahkan akses dalam talian.

Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan akan mendedahkan laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi yang ditubuhkan pada tahun 2018 yang lalu.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Perdana Menteri menyatakan adalah amat baik Kerajaan berusaha mengambil langkah-langkah penjimatan. Namun, saya mohon penjelasan berapa kos yang ditanggung oleh Kerajaan di atas pertukaran beberapa Kementerian dan nama Kementerian dan apakah cadangan pertukaran ini juga merugikan Kerajaan.     

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah langkah yang diambil bagi menyelesaikan masalah dan keluhan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia yang mana bayaran pencen yang mereka terima tidak setimpal dengan kadar inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang tinggi pada hari ini.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan bagaimanakah kaedah Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) akan diagihkan kepada wakil rakyat Parlimen dan bilakah dana tersebut akan disalurkan.              

Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Perdana Menteri menyatakan bilangan kuarters Kerajaan di Putrajaya yang tidak boleh diduduki akibat tidak diselenggara serta perancangan Kerajaan untuk membaik pulih kuarters tersebut supaya boleh diduduki oleh penjawat awam yang bekerja di Putrajaya.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Perdana Menteri menyatakan komitmen Kerajaan Pusat dalam melakukan sebarang bayaran berkait dengan royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang sudah lama tertangguh.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan kesedaran dan penguatkuasaan telah diambil untuk membanteraskan gejala LGBT.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Perdana Menteri menyatakan apakah perancangan dan hala tuju Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dalam membangun ekonomi umat Islam khususnya dalam suasana tekanan ekonomi pada hari ini.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk menangani isu monopoli dalam pasaran seperti mana yang dibangkitkan oleh YAB. Tambun berhubung isu BERNAS.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Perdana Menteri menyatakan sepanjang tahun lalu berapa ramaikah menjadi mangsa penipuan Macau Scam dan Love Scam dan jumlah kerugian dialami. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -