Pertimbangkan elaun sara hidup petani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan elaun sara hidup petani yang mengalami masalah pada musim hujan yang berpanjangan.

Islahuddin Abas (PN-Mersing) berkata, petani di Mersing mengalami kekurangan hasil selama enam bulan disebabkan hujan.

- Advertisement -

“Elaun sara hidup untuk petani semasa perbahasan Titah Diraja dan Belanjawan, saya ada ungkit.

“Adakah kementerian mempertimbangkan elaun bantuan sara hidup kepada petani sebagaimana untuk nelayan sebab petani ini contoh dekat Mersing, sudah enam bulan hasil kurang disebabkan hujan,” katanya mencelah semasa Penggulungan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu, pihaknya akan berusaha memohon Perdana Menteri pertimbangkan perkara tersebut.

“Itu masuk dalam jiwa saya dan kita akan berusaha memohon kepada Perdana Menteri supaya berbincang dengan Menteri Kewangan semoga dapat dipertimbangkan,” katanya berseloroh.

Jawapan bersahaja itu disambut gelak tawa Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad kemudian menyambung dengan mengatakan ia bergantung jika perbelanjaan kewangan kerajaan mencukupi.

“Kita tahu perkembangan ekonomi sekarang ini perlahan, tetapi saya kata tahun ini lebih baik dari tahun lepas. Kita akan lihat apa yang disebut oleh Mersing itu dapat direalisasikan pada masa akan datang kepada mereka yang amat memerlukan.

“Kita kena usaha, jadi kalau rayuan petani miskin ini, tentulah kita akan cari jalan pertimbangkan, ini yang kita harapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -