Kekurangan pekerja asing dapat diatasi tiga bulan

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melaksanakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan kuota pekerja asing serta kelulusan penggajian pekerja asing bermula pada 17 Januari lalu sehingga 31 Mac bagi sektor-sektor kritikal seperti pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (subsektor restoran sahaja).

- Advertisement -

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), majikan di bawah kelima-lima sektor/subsektor tersebut boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah modul FWe Approval.

Katanya, di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, majikan-majikan yang memerlukan pekerja asing dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian dan kelayakan kuota yang dikenakan sebelum ini, termasuk pengecualian proses temuduga oleh Agensi Kawal Selia (AKS).

Di samping itu, ujarnya pengiklanan kekosongan jawatan di portal MyFuture Jobs juga telah dikecualikan berkuatkuasa serta merta.

“KSM akan memproses dan memberi kelulusan permohonan penggajian pekerja asing dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Bakri Jamaluddin [PN-Tangga Batu] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Bakri meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah yang telah diambil oleh Kerajaan dalam mempercepat proses pengambilan buruh asing sekitar 54,000 orang bagi menampung keperluan dalam sektor perladangan serta mengelakkan kerugian yang ditanggung dalam anggaran RM10.46 bilion bagi sektor tersebut.

Menurut KSM lagi, dengan pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing itu, kerajaan menjangkakan masalah kekurangan pekerja asing akan dapat diatasi dalam tempoh tiga bulan. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -