Mangsa kebakaran terima sumbangan PAS Batu Sapi

Norsah menyantuni mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi.
- Advertisement -

SANDAKAN: PAS Kawasan Batu Sapi melawat mangsa kebakaran di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, dekat sini semalam.

- Advertisement -

Kunjungan bersama Skuad Prihatin PAS Batu Sapi itu sambil menghulurkan sumbangan awal kepada mangsa sebagai perhatian terhadap kebajikan mereka.

Naib Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Norsah Bongsu berkata, matlamat utama kehadiran pihaknya ke dewan PPR tersebut adalah untuk menghulurkan sumbangan awal kepada mangsa.

“Sumbangan yang disampaikan berbentuk air mineral dan keperluan bayi seperti susu, botol susu dan pampers telah diedarkan seawal pukul 11 pagi semalam,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah mendoakan agar mangsa kebakaran Kampung Cenderamata itu tabah menghadapi ujian dan yakin bahawa Allah pasti akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Terdahulu, telah berlaku kebakaran besar melibatkan lebih 90 buah rumah perkampungan atas air awal pagi Isnin lalu.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat, punca dan kerugian susulan kebakaran itu masih dalam siasatan. – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -