
Setiap tahun, pembentangan belanjawan sentiasa ditunggu-tunggu oleh semua rakyat, adakah ianya akan menyentuh setiap segmen dan lapisan masyarakat khususnya pasca covid dan mereka yang terkesan akibat ekonomi yang suram.
Saya sendiri pun ternanti-nanti pembentangan kali ini kerana ianya adalah daripada seorang Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri yang telah melalui pelbagai ujian dan cabaran sepanjang perjalanan politik yang telah meletakkan slogan utama ialah Reformasi ditambah dengan slogan Malaysia Madani.
Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari. Disangka semangat perjuangan reformasi diteruskan setelah berjaya menjadi kerajaan, rupanya semuanya telah dibuang kelaut kerana prinsip asas reformasi yang dilaungkan selama ini, telah dilanggar seawal pembentukan kabinet lagi.
حسبنا الله ونعم الوكيل
Oleh itu dalam pemerhatian saya, tiada yang baru dalam pembentangan belanjawan oleh YAB Tambun kecuali mengulangi sebahagian besar apa yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan terdahulu pada 7 Oktober 2022 dengan hanya menukar beberapa nama kepada nama baharu sahaja dan dengan beberapa istilah baharu sesuai dengan latar belakang pendidikan Sastera Melayu. Mudahnya tiada WOW dalam pembentangan belanjawan ini.
Walaubagaimana pun, saya menyanjung tinggi kerana dalam ucapan bajet kali ini banyak petikan ayat al-Quran berbanding sebelum ini dengan hanya mengambil mafhumnya sahaja, tetapi dalam masa yang sama pastikan ianya dihayati dan dijadikan panduan dalam mentadbir negara dan satu lagi peringatan saya jangan cuba menghina ahli lain yang kononnya tidak mampu membaca dengan betul. Saya telah sebut isu ini dalam ucapan perbahasan Titah Diraja minggu lepas.
Selain belanjawan, setiap lima tahun pula, rakyat menunggu-nunggu untuk mendengar pembentangan Rancangan Malaysia, yang terakhir ialah RMK-12.
Disini saya ini bertanyakan YAB Tambun, sejauh manakah kerajaan hari ini melihat RMK-12 yang telah dibentangkan pada 27 September 2021, dari segi pelaksanaan dan keperluan menjayakannya?
Kerana dalam RMK-12, enam negeri kurang membangun iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak akan menerima sekurang-kurangnya 50 peratus peruntukan pembangunan (DE) Persekutuan.
Secara kebetulannya empat daripada enam negeri tersebut dipimpin oleh parti selain parti diperingkat persekutuan iaitu PAS dan Perikatan Nasional. Mungkin negeri-negeri ini rakyatnya tak berapa cerdik bak kata salah seorang menteri kerana memilih PN khususnya pada PRU baru-baru ini. Hanya Pulau Pinang dan Selangor banyak disebut. Seolahnya belanjawan kali ini hanya untuk PRN bagi mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang. Ada rasa goyah ker di dua negeri tersebut? Dan adakah negeri-negeri selain Selangor dan Pulau Pinang ini tidak berharga atau PM merasakan sudah hilang harapan untuk negeri-negeri tersebut?
Saya ingin bertanyakan pihak kerajaan, adakah Kerajaan Madani hari ini akan mengulangi perangai dan tabiat lama kerajaan terdahulu yang menganaktirikan negeri-negeri pembangkang (dalam kontak federal, tetapi perlu ingat bahawa di peringkat negeri kami adalah kerajaan yang sah). Dan inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Tambun dan kawan-kawan yang lain dalam perjuangan reformasi terdahulu.
Kenapa semua ini berlaku? Adakah hadiah sempena 100 hari pentadbiran kerajaan campuran PH-BN? Adakah kerana ada agenda tersembunyi? Adakah kerana dendam? Sedangkan kawan baharu dalam kerajaan campuran hari ini lebih dahsyat dalam berbalas tuduhan antara satu sama lain.
Kita berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada sifat dendam sebagaimana panduan-Nya:
{ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ .. }
“Dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman”. [Surah Al-Hasyr: 10]
Kerana hasad dan dendam bukan ciri-ciri ahli syurga:
{ وَنَزَعۡنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنۡ غِلّٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَٰرُۖ }
“Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing”. [Surah Al-A’râf: 43]
Saya mengharapkan kerajaan hari ini tidak mengulangi kegagalan kerajaan 22 bulan, kerana tidak kompeten dan hampir tidak mempunyai idea tuntas untuk menyelesaikan kebimbangan kewangan rakyat.
Data daripada Soal Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2022 bertarikh 6 Disember 2022 menunjukkan satu kebenaran yang menyakitkan tentang keadaan kewangan semasa rakyat, termasuk simpanan yang semakin berkurang, isu aliran tunai dan pelbagai lagi trend yang membimbangkan.
Sementara, Menteri Sumber Manusia pula menangguhkan perlaksanaan gaji minimum bagi PMKS di bawah 5 orang pekerja. Di tengah-tengah tekanan inflasi, sudah pasti kenaikan gaji akan sedikit melegakan rakyat.
Pun begitu, Kuala Krai juga faham keperitan PMKS untuk menangani kenaikan kos pembayaran upah dalam keadaan ekonomi yang perlahan ini.
Dikatakan Perdana Menteri ini pernah bergelar Menteri Kewangan Terbaik Asia, kini pula telah menjadi seorang Perdana Menteri yang disebut-sebut bertaraf dunia. Bahkan, kita juga mempunyai Menteri Ekonomi yang sebelum ini kerap melontar pelbagai formula yang tersangat bijaksana.
Saya teringat satu rakaman video temubual The Ayuh Malaysia Show yang disiarkan di Youtube, Menteri Ekonomi sekarang pernah berkata, “bukan saya yang makan gaji 80-90 ribu sebulan untuk memikirkan penyelesaian”.
Nah, sekarang ini kamu telah dibayar gaji menteri, takkanlah sekadar mampu mengeluarkan formula jangan makan ayam kalau ayam mahal dan pulaukan kedai makan yang menjual dengan harga yang mahal.
Kalaulah hanyalah formula ini sebagai sandaran menteri ekonomi “Pok Mat kampung pun boleh jadi Menteri ekonomi”.
Formula boikot itu bukan sahaja dikritik hebat oleh netizen tetapi juga penganalisis ekonomi, bahkan peniaga kedai makan turut melahirkan rasa kecewa mereka dengan kenyataan melulu dan tidak bertanggungjawab Menteri Ekonomi ini.
Bekerjalah menteri. Rakyat menanti dasar yang membolehkan mereka menjana pendapatan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang bermaruah. Janganlah sekadar mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina intelek rakyat.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, tidak seharusnya menteri dan kementerian sekadar ingin melaksanakan sesuatu dasar yang populis tanpa mengambil kira keperluan dan kekangan pihak yang lain.
Sebuah kementerian yang bertanggungjawab seharusnya lebih memikirkan tentang polisi dan bukannya program semata-mata.
Terbaharu, Center for Market Education (CME) berkata: “Belanjawan Anwar hanya gah pada slogan tapi tak begitu manfaatkan negara, naratif dalam belanjawan hanya bersifat populis tanpa sebarang strategi kukuh pembaharuan cukai”.
Soalan yang perlu dijawab juga ialah adakah benar-benar harga barang mentah telah turun? Saya sendiri mendapat banyak aduan dalam isu ini. Apabila saya balik ke kawasan, saya masih menerima aduan rakyat berkaitan isu harga keperluan harian yang tinggi. Telor misalnya, walaupun ada terdapat di pasaran, tetapi dengan harga RM18 – RM19 sepapan itupun gred C.
Saya mencadangkan dalam memastikan nasib rakyat terus terbela agar pihak kerajaan memberikan perhatian kepada beberapa isu:
1) Wujudkan Pengkalan Data Komprehensif Dengan Masa Nyata agar semua rakyat mendapat pembelaan yang sepatutnya dan tidak bertindih atas seorang nama;
2) Wujudkan Agensi Tunggal Untuk Menyelaras Bantuan Rakyat;
3) Hapuskan caj ATM RM1, sebagaimana telah dilaksanakan oleh PM8. Nampak kecil, tetapi amat bernilai kepada rakyat. Saya yakin bank tidak akan mengalami kerugian dengan pengecualian ini;
4) Turunkan harga cukai jalan, bukannya buang pelekat cukai di cermin kereta dan turunkan harga untuk mengambil lesen kereta dan motor.
Selain harga bahan makanan, harga bahan binaan juga perlu mendapat perhatian pihak kementerian khususnya dalam membantu golongan berpendapatan rendah membina rumah sendiri.
Misalnya harga simen dahulunya RM18 kini telah naik kepada RM22.
Apa sebenarnya halatuju kerajaan dalam memelihara kepentingan bumiputera dan apakah pendekatan terkini? Kerana tidak banyak disebut di dalam ucapan bajet pada kali ini.
Dalam isu ini, nampaknya seolah-olah kita tersepit di negeri sendiri. Jika kita perjuangkan hak bumiputera dan bercakap tentang bangsa dan agama, kita akan dicop rasis dan perkauman. Tetapi sebaliknya jika pihak lain yang bercakap tentang agama dan bangsa mereka, maka mereka dianggap hero.
Adakah kerajaan hari ini terlalu takut untuk menegaskan berkaitan hak kepentingan bumiputera hatta dalam ucapan bajet pun nampak tidak begitu berani untuk menyebut dan tegaskannya.
Syiar Islam disebut di dalam ucapan bajet. Selain pelbagai program termasuk mengadakan Majlis Tilawah Al-Quran pelbagai peringkat yang telah melahirkan ramai qari dan qariah serta projek mencetak Al-Quran, saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan dapat mengadakan program rakaman suara qari dan qariah penuh 30 juzuk khususnya Johan Antarabangsa agar legasi mereka dapat dihayati oleh generasi akan datang dan pada hari ini kita boleh saksikan betapa ramai sekali anak-anak muda yang meminati tarannum, tilawah dan hafazan.
Qari dan qariah ini adalah aset negara yang cukup bernilai. Cadangan ini kerana saya memerhatikan ramai qari dan qariah kebangsaan dan antarabangsa yang telah meninggal dunia termasuk dalam usia muda tanpa dapat direkodkan rakaman suara mereka dengan sebaiknya seperti Ustaz Wan Ainuddin Hilmi Abdullah Johan Antarabangsa 2016 yang meninggal dunia dalam usia 39 tahun.
Antara qari dan qariah yang masih ada dan sedang menabur bakti mengajar ilmu tajwid dan tarannum ialah Ustaz Che Yahya Daud (1999), Ustaz Radhi Kamarul Hailan (2000 & 2004), Ustaz Ahmad Faizul Ghazali (2003) termasuklah qariah lagenda Dato’ Hajjah Faridah binti Mat Saman (1964-1991).
Hanya terdapat rakaman suara mereka yang dibuat sendiri dan di sebarkan melalui YouTube atau kini oleh program realiti TV.
Saya ingin menyentuh berkaitan satu isu hangat sehari dua ini. Isu filem Mentega Terbang. Isu ini ialah isu yang berkaitan dengan AKIDAH dan bukan isu kebebasan. Alangkah lebih baik jika sumber dan tenaga kerajaan yang ada digunakan untuk memperbaiki kegagalan kerajaan mengawal produksi filem-filem yang mempersoalkan Islam dan memesongkan akidah seperti ini dan bukan untuk menyekat musuh politik?
Jangan menggunakan tenaga dan kuasa yang ada untuk menyekat kebebasan bersuara dengan cara memberi amaran atau mengambil tindakan kepada aktivis media sosial yang memberi pandangan berbeza dari PH-BN, tiba-tiba dalam keghairahan pihak berkuasa mencengkam negara secara kuku besi tiba tiba keluar filem seperti “Mentega Terbang”.
Saya mengharapkan pihak Kementerian Komunikasi Dan Digital dapat mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan filem tersebut secepat mungkin dan filem-filem seumpamanya di masa hadapan.
Tahniah atas penegasan YAB Tambun untuk menyelesaikan isu sekolah daif. Tetapi persoalannya ialah peruntukan sekolah daif dan juga klinik daif telah dipotong sebanyak RM300 juta untuk sekolah dan RM140 juta untuk klinik. Peruntukan dalam belanjawan kali ini sebanyak RM1.2 bilion, iaitu RM920 juta untuk sekolah daif dan RM280 juta untuk klinik sedangkan belanjawan yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu RM1.2 bilion untuk sekolah sahaja dan RM420 juta untuk klinik.
Saya ingin bertanya adakah YAB Tambun menyedari perkara ini? Bagaimana ingin menyelesaikan isu sekolah daif dan klinik daif jika bajet telah dipotong. Tolong lihat semula perbezaan ini.
Di Kuala Krai, tidak terdapat sekolah daif. Tetapi yang diperlukan ialah kemudahan seperti dewan serbaguna, asrama, padang permainan dan beberapa isu kemudahan yang lain.
Saya sebutkan di sini untuk rekod dan semoga mendapat perhatian YB Menteri Pendidikan.
1) Padang permainan SK Peria dan SK kg Tengah
2) Naik taraf Dewan Pelbagai Guna SMK Kuala Krai, SMK Keroh
3) Membina Dewan Pelbagai Guna SK Banggol Guchil dan SK SYP 2
4) Asrama SMK Bandar Kuala Krai dan SK Slow Temiang
5) Membina Pagar SMK Laloh
Senarai ini saya terima sendiri ketika lawatan saya ke sekolah, sebenarnya terdapat senarai panjang, saya akan serahkan kepada YB Menteri. Inilah bukti, kami masuk ke sekolah bukan untuk berpolitik, tetapi untuk membantu apa-apa kekurangan bagi memberikan keselesaan kepada guru dan juga murid.
Bahkan ucapan saya dipelbagai program di sekolah adalah memfokuskan kepada ilmu, motivasi dan kepentingan pendidikan tanpa menyebut sepatah perkataan pun isu-isu politik berbanding dengan pihak lain yang telah menjadi rahsia umum akan mejadikan medan tersebut sebagai ceramah politik khususnya dalam majlis bersama ibu bapa.
Dalam isu kilnik daif, di Kuala Krai memang terdapat banyak klinik-klinik yang perlukan perhatian, antaranya:
1) Klinik Desa Pasir Kelang
2) Klinik Desa Sungai Pas
3) Klinik Desa Mengkebang
4) Klinik Desa Batu Jong
Termasuk juga kuaters yang terlalu uzur di setengah klinik yang perlukan perhatian pihak YB Menteri Kesihatan.
Saya akhiri ucapan ini dengan sebuah peringatan daripada Buya Hamka. Ianya berbunyi begini: “Adil ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim di atasnya. Berani menegakkan keadilan, walaupun mengenai diri sendiri, adalah puncak segala keberanian”.
Ianya tentu sangat berkait rapat dengan perjuangan, kata-kata dan harapan YAB Tambun suatu ketika dahulu.
Malah kami di Kelantan dahulu didendangkan dengan pelbagai janji-janji namun kini hampir menjadi palsu kesemuanya.
Kelantan yang dinafikan hak semenjak zaman Tok Guru Nik Abdul Aziz, yang mana beliau juga menjadi idola YAB Tambun dan seluruh rakyat Malaysia termasuk daripada parti DAP, sehingga kini masih dinafikan haknya.
Kami yakin, kalau Tok Guru masih ada, terhiris dan terlukalah beliau dengan kenyataan belawok dan berpusing-pusing ini.
Kuala Krai dan seluruh rakyat Kelantan melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat pada 23 Februari 2023 yang menyatakan bahawa hak untuk mendapatkan royalti mesti berada dalam perairan 3 batu nautika.
Oleh yang demikian itu, kami dengan penuh ketegasan kami menggesa pihak Kerajaan Persekutuan pada hari ini untuk meneruskan pembayaran Wang Royalti ataupun atas nama bayaran tunai petroleum kepada kerajaan negeri demi kepentingan rakyat Kelantan keseluruhannya.
Untuk Kerajaan PH-BN. Saya dedikasikan pantun untuk kalian:
Anak siakap impian kelah,
Umpan lukah di Kg Manjur,
Ikatan retak menanti belah;
Tersilap langkah jatuh tersungkur.
Keris sepukal pendokok suasa,
Senjata purba usah pertikai,
Selama kekal di tampuk kuasa;
Hukum rimba jangan dipakai. – HARAKAHDAILY 2/3/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz AbdulLatiff Abdul Rahman semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 1 Mac 2023.











